Isu hina Nabi: Pas cadang hukuman lebih keras

Vivi Sumanti
Mac 9, 2019 00:16 MYT
TUAN IBRAHIM: Ia perlu dimasukkan ke dalam silibus supaya tiada penghinaan kepada agama lain dan menghormati agama lain. - Gambar fail
Pas menyarankan supaya kerajaan menggubal undang-undang dan hukuman yang lebih keras ke atas mereka yang menghina Nabi Muhammad dan menyentuh sensitiviti agama.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pada masa yang sama, kerajaan juga perlu bertindak cepat ke atas sesiapa yang menghina agama.
Dalam usaha membentuk sikap hormat-menghormati berteraskan nilai kesopanan dan kesusilaan, Kementerian Pendidikan juga disaran menilai dan menerapkan pendidikan berteraskan prinsip hormat menghormati dalam silibus pendidikan.
Langkah ini, kata beliau, dapat memberikan pengetahuan dan pendedahan sewajarnya kepada pelajar.
“Pertamanya, tingkatkan hukuman. Dalam Islam, (kesalahan) menghina Nabi (dikenakan) hukuman mati. Tetapi di Malaysia, kita minta kerajaan letak hukuman lebih tegas.
"Yang kedua, pendidikan. Ia perlu dimasukkan ke dalam silibus supaya tiada penghinaan kepada agama lain dan menghormati agama lain,” katanya di sini malam tadi.
Pada 5 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis sudah menerima 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap Islam, Nabi Muhammad serta isteri baginda, Saidatina Aisyah, di seluruh negara
BACA: Hina Nabi: 3 pengguna media sosial ditahan, seorang masih diburu
Susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemilik akaun Twitter ‘Alvin Chow’ dua hari lalu, selepas memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Pas turut mengalu-alukan siasatan yang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pimpinan dan ahli Pas.
Tuan Ibrahim menjelaskan, Pas mengambil sikap terbuka dan tidak menyembunyikan kebenaran dalam usaha pihak SPRM menjalankan siasatan mereka.
“Kita mengalu-alukan, dan kita tahu bahawa apa yang dipanggil berhubung dengan isu sama sahaja, beli kereta, beli rumah, takkan orang Pas tak boleh beli kereta, beli rumah.
"Kita mengalu-alukan untuk panggil sesiapa sahaja. Kita buka pintu. Kita tiada masalah,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dua pemimpin Pas dari Pahang yang tampil memberi keterangan di Kompleks SPRM Pahang, pada Jumaat.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang, Mokhtar Senik,dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi semalam dipanggil untuk diambil keterangan.
BACA: Dana RM90j: Nashrudin, Mokhtar ke SPRM hari ini
Kedua-dua mereka dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung dana RM90 juta yang didakwa diberikan UMNO kepada parti berkenaan.
Setakat ini, SPRM sudah merekodkan keterangan 13 orang individu bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
BACA: Pengerusi KTMB sahkan serah dokumen bantu siasatan bayaran RM1.4 juta kepada Claire
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Terengganu sudah memberikan keterangan kepada SPRM, selain Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Dr Rameli Musa.
#hina Nabi #Hukuman #Islam #Kementerian Pendidikan #kerajaan #media sosial #PAS #pemimpin Pas #Rasuah #RM90 juta #sensitiviti agama #siasatan #silibus #SPRM #Tuan Ibrahim Tuan Man #UMNO #undang-undang