JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan beliau akan memberikan penjelasan yang sewajarnya dalam Dewan Rakyat, berhubung kenyataan beliau tentang hutang 1MDB baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pekan, yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional itu berkata, beliau telah meminta lanjutan masa dari Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun memandangkan beliau kini terlibat dalam pelbagai program sempena Pilihan Raya Negeri Johor.

Katanya lagi, beliau terpaksa memohon lanjutan itu memandangkan surat arahan dari Speaker adalah pada Isnin lepas, dan hanya dua hari diberikan untuk sesi penjelasan dan penyediaan dokumen berkaitan.

“Penyediaan dokumen dan bukti pun perlu masa. Tak kan boleh selesai dalam masa sehari saja? Lebih-lebih lagi saya sudah berada di Johor. Pada pendapat saya, ini bukan permintaan yang tidak munasabah.

“Speaker pun membalas bahawa dia bersetuju memberi masa saya sehingga hari Selasa minggu depan,” katanya lagi.

Pada 7 Mac lepas, Azhar mengesahkan bahawa beliau telah meminta penjelasan rasmi dari Najib, berhubung kenyataan berkaitan hutang 1MDB, yang didakwa sesetengah Ahli Parlimen sebagai mengelirukan Dewan Rakyat.


Azhar berkata, tidak timbul persoalan sama ada Ahli Parlimen Pekan itu mengingkari arahan Speaker atau tidak kerana beliau sendiri sudah memberi lanjutan masa kepada Najib.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua pada 3 Mac lepas telah mengemukakan usul untuk Najib Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan.

Permohonan itu dikemukakan selepas Ahli Parlimen Pekan itu sewaktu dalam Dewan Rakyat, mendakwa Kerajaan tidak mengeluarkan satu sen pun untuk membayar hutang prinsipal bagi 1MDB.

Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau tiada masalah untuk menjelaskan kenyataan yang dilakukan itu.

“Saya tiada masalah untuk jawab. Tunggu saja jawapan saya minggu depan, Tony. Gerenti memuaskan dan akan menghangatkan geng kamu,” katanya lagi.