Skip to main content

Malaysia

Talian penghantaran elektrik ke Pantai Timur Sabah dijangka pulih malam ini

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar sewaktu ditemui pemberita di tapak pembinaan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) fasa pertama hari ini.  - Foto Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar sewaktu ditemui pemberita di tapak pembinaan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) fasa pertama hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Kerja pemulihan talian penghantaran elektrik ke Pantai Timur Sabah kini mencapai 70 peratus dan dijangka pulih malam ini.
  • Menara T313 tumbang akibat hakisan dan arus deras Sungai Liwagu, menjejaskan 153,599 pengguna di kawasan terlibat.
  • Pemeriksaan keselamatan menggunakan helikopter dijalankan sebelum bekalan elektrik disalurkan semula dari Kota Kinabalu ke Sandakan.
Advertisement

RANAU: Talian penghantaran bekalan elektrik ke kawasan Pantai Timur Sabah dijangka pulih malam ini susulan kerja pemulihan kini mencapai kira-kira 70 peratus, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar.

Beliau berkata kerja pemasangan kabel konduktor di menara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di Kampung Sagindai di sini juga sedang giat dilaksanakan bagi menyambungkan semula talian penghantaran itu yang terputus akibat menara T313 tumbang pada Khamis lepas.

Beliau berkata menara kecemasan itu berjaya disiapkan pada tengah hari semalam manakala kerja merentang kabel konduktor sedang dilaksanakan hari ini mengikut jadual.

Advertisement

“Setakat 12.30 tengah hari, sebanyak lima konduktor berjaya direntangkan manakala satu lagi konduktor dalam proses pemasangan bagi melengkapkan sambungan litar pertama.

“Bagi memastikan keselamatan sebelum proses pengaktifan talian, pemeriksaan dijalankan dengan menggunakan helikopter bagi membawa anggota teknikal melakukan rondaan sepanjang talian penghantaran dari Kota Kinabalu ke Sandakan,” katanya kepada pemberita di tapak menara ERS di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata pemeriksaan itu bagi memastikan tiada halangan di sepanjang jajaran talian sebelum bekalan elektrik disalurkan semula.

Pemasangan menara ERS itu apabila siap sepenuhnya dapat menyokong talian hingga 320 megawatt.

Mengenai menara T313 yang tumbang, Mohd Yaakob berkata menara itu dibina pada 2007 dan terletak 106 meter dari tebing Sungai Liwagu.

Beliau berkata pihaknya telah meletakkan benteng pasir di tapak menara sebelum ini namun hakisan dan aliran sungai menjadi antara faktor menyebabkan menara itu tumbang kerana tapaknya tergantung.

Selain itu, Mohd Yaakob berkata 663 tiang talian elektrik sepanjang Kota Kinabalu ke Sandakan termasuk satu tiang di Sipitang yang berhampiran sungai kini turut diberikan perhatian.“(Talian) sepanjang 250 kilometer Kota Kinabalu ke Sandakan dan biasanya setiap suku tahun kita akan  membuat pemeriksaan dengan menggunakan helikopter dan lebih kerap pada waktu hujan,” katanya.

Selain itu, Mohd Yaakob berkata membawa peralatan membina menara ERS menjadi cabaran kepada lebih 100 petugas di situ kerana perlu menggunakan jambatan gantung Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, iaitu satu-satunya laluan utama ke tapak pembinaan.

“Cabaran terbesar adalah untuk merentangkan konduktor kabel merentas sungai kerana konduktor berat. Semalam, bomba turut membantu kami, namun usaha itu masih tidak berjaya berikutan arus sungai yang deras. 

“Nasib baik, masih terdapat satu konduktor yang bersambung dan petugas kita bergantung pada konduktor itu untuk menyeberangi sungai sebelum menarik wayar pandu. Keadaan cuaca juga agak baik, membolehkan kita mempercepat kerja pemulihan,” katanya.

Mohd Yaakob berkata tapak menara ERS itu sebelum ini dicadangkan dibina di seberang sungai yang memerlukan tempoh enam hari namun keadaan tanah yang tidak sesuai menyebabkan ia ditukar ke tapak sekarang.

Menara penghantaran elektrik T313 terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Jalan Ranau-Telupid tumbang akibat hakisan susulan hujan berterusan dan arus deras sungai itu.

Kejadian itu menjejaskan 153,599 pengguna dan Sabah Electricity menyasarkan pemulihan bekalan elektrik itu pada 2 Dis atau lebih awal.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement