Kisah perkahwinan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dengan seorang lelaki 41 tahun yang tersebar di media sosial turut mendapat perhatian aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.

Melalui kemas kini status di laman Facebook, Syed Azmi mendedahkan berjaya mendapat maklumat tentang kisah perkahwinan itu melalui kenalan lelaki tersebut awal pagi tadi.

BACA: Isteri terkilan suami kahwini kanak-kanak 11 tahun

Syed Azmi berkata dia melihat beberapa isu perlu diambil peduli terutama hak kanak-kanak perempuan tersebut.

“Masalah utamanya budak tersebut baru 11 tahun. Siapa sebenarnya nak lindungi hak dia? Dalam banyak-banyak benda nak lindungi, budak perempuan 11 tahun ini pula muat naik status yang mempertahankan pilihannya dan mencabar kedua-dua madunya.

“Sikap macam ini bagaimana pula, lagi-lagi dengan sokongan ibu bapa kedua-dua pihak. Tapi kita tak boleh salahkan dia. Dia tidak dapat pendidikan dan itu salah kita. Dia mudah dipengaruhi dan dieksploitasi,” katanya.

Syed Azmi sempat memohon agar majlis agama melihat isu ini bukan sahaja daripada segi agama tetapi daripada segi hak kanak-kanak tersebut.

“Kalau kita tak bagi kahwin atau tak daftarkan perkahwinan itu lagi teruk tapi hak kanak-kanak itu serta bakal anak-anaknya nanti perlu dilindungi juga. Kalau cerai macam mana nanti?

“Faktor dikahwinkan kerana bercinta. Kalau betul tak salah, kenapa tak kahwin saja di Malaysia. Bukan tak boleh. Undang-undang kita ada dan bagus,” katanya.

Bercerita latar belakang kisah perkahwinan itu secara panjang lebar, Syed Ali memberitahu kanak-kanak 11 tahun itu bukan warganegara Malaysia namun tidak dapat dipastikan status kewarganegaraannya.

“Suami seorang imam satu surau di kampung dihormati ramai yang juga seorang pembeli getah di kampung tersebut, berumur 40 tahun warganegara Malaysia dan mempunyai dua orang isteri.

BACA: Nikah budak 11 tahun: 'Saya ikat sahaja, belum tinggal bersama'

“Budak yang berkahwin umurnya 11 tahun, anak bongsu. Ibu bapanya bekerja sebagai penoreh getah. Keluarga ini bukan warganegara Malaysia dan menjual getah pada lelaki ini. Jadi sekarang bos mereka menjadi menantu sendiri. Semua adik beradik budak ini tidak bersekolah,” katanya.

Katanya, perkahwinan budak 11 tahun dengan lelaki ini berlaku di Thailand tanpa pengetahuan kedua-dua isteri pada bulan ini dan belum berdaftar di Malaysia.

“Telah diketahui bahawa lelaki ini bercinta dengan budak 11 tahun pada bulan Mac. Kedua-dua isteri berjumpa dengan si suami untuk mendapatkan penjelasan tapi si suami kata dia tak bodoh nak kahwini budak. Jadi mereka percaya.

“Isteri pertama menerima gambar perkahwinan si suami tiga hari lepas dan berkongsi dengan isteri kedua. Si suami kata ‘Nabi dan Siti Aishah boleh berkahwin dan dia ingin mengikut sunah’,” katanya.

Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002, Bahagian II-Perkahwinan Seksyen 8: umur minimum perkahwinan menyebut tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenaran secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.