PUTRAJAYA: Pandangan mengenai pelaksanaan Integrity Pact yang dikatakan tidak mencapai piawaian antarabangsa adalah tidak tepat, kerana ia telah ditambah baik dengan sistem dan garis panduan yang jelas serta relevan pada masa ini, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata cadangan supaya diwujudkan pihak ketiga sebagai pemantau bebas, bagi menjamin ketelusan proses pembidaan dari tender dikeluarkan kepada syarikat sehingga siap projek, tidak terikat di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang mewajibkannya dilaksanakan, di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Integrity Pact yang ditambah baik mempunyai sistem dan garis panduan yang cukup jelas, tambahan pula dengan adanya peruntukan baharu yang dimasukkan seperti Seksyen 17A Akta SPRM 2009, ia dilihat relevan dari segi pelaksanaannya buat masa ini.

"Penglibatan pihak ketiga untuk memantau projek-projek kerajaan juga bergantung kepada jenis projek, kerana bukan semua projek sesuai disertai pihak ketiga atas faktor kepentingan dan kerahsiaan kerajaan, misalnya projek melibatkan agensi penguat kuasa atau pertahanan awam dan negara," katanya kepada pemberita baru-baru ini sempena Hari Ulang Tahun SPRM ke-55 yang disambut Sabtu.

Azam tidak menafikan terdapat negara yang mempraktikkan mekanisme tersebut bagi menjamin ketelusan dalam urusan perolehan namun, ia bergantung kepada sesebuah negara dan keperluan semasa.

Beliau menegaskan ketiadaan pemantauan daripada pihak ketiga, tidak bermaksud Integrity Pact tidak boleh dilaksanakan secara berkesan.

"Malah, sehingga hari ini, tiada sebarang kajian yang menunjukkan isu rasuah dan salah guna kuasa atau isu ketirisan perolehan kerajaan, dapat diatasi sepenuhnya dengan adanya pemantau bebas," katanya.

Selain itu, beliau berkata melalui pelantikan pihak ketiga, timbul persoalan mengenai kos projek dengan bayaran perkhidmatan dan nilai kos perlu dipertimbangkan bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, Azam berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang penambahbaikan pada masa depan demi kepentingan semua pihak.

Menurutnya Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang diadakan tahun lepas, telah mengesyorkan lima penambahbaikan dan salah satu daripadanya ialah melaksanakan kajian lanjut bagi projek rintis pemantau bebas.

"Sekiranya projek rintis tersebut membuktikan keberkesanan dan adanya keperluan untuk memasukkan pihak ketiga sebagai pemantau bebas bagi meningkatkan ketelusan setiap urusan perolehan kerajaan, maka SPRM akan turut menerima penambahbaikan tersebut demi kepentingan semua," katanya.

Pelaksanaan Integrity Pact dalam perolehan kerajaan, merupakan salah satu inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) - Membanteras Rasuah telah dikuatkuasakan mulai 1 Jun lepas.

Azam berkata ia merupakan antara 111 inisiatif yang dilaksanakan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 untuk meningkatkan integriti, memerangi amalan rasuah serta mengelak sebarang isu berkaitan konflik kepentingan dalam perolehan kerajaan.

-- BERNAMA