KUALA LUMPUR: Isu kelapa sawit serta pemerdagangan manusia di negara ini merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Dalam sidang media susulan perjumpaan itu di Parlimen hari ini, Azhar berkata, kerajaan tidak mempunyai apa-apa maklumat yang hendak disembunyikan, berlawanan dengan apa yang sering dilaporkan media global berkenaan isu tersebut.

Menurut Azhar, Malaysia dan AS juga bersetuju untuk cuba mencari jalan penyelesaian terbaik serta melahirkan situasi menang-menang dalam isu berkenaan.

“Kita telah membincangkan bersama-sama isu antara Malaysia dan AS serta isu global lain, antaranya tentang isu kelapa sawit yang telah sekian lama menjadi isu agak kontroversi antara malaysia dan AS… dan kita ingin cari jalan, terus mengadakan libat urus antara dua kerajaan mengenai isu kelapa sawit ini.

“Saya tekankan Malaysia tidak ada apa-apa hendak disembunyikan mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap industri kelapa sawit negara. Saya berharap agar hubungan atau engagement secara multilateral boleh diadakan antara AS dan Malaysia untuk cari penyelesaian, win-win solution,” katanya lagi.

Terdahulu Pelosi mengetuai delegasi AS, melakukan kunjungan hormat dan perjumpaan tertutup dengan Azhar dan delegasi Malaysia di bangunan Parlimen.

Azhar berkata, delegasi Malaysia turut diwakili beberapa Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Md Dun; Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang; Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Isu berkenaan industri kelapa sawit sering menjadi isu utama apabila AS pada awal tahun ini telah menyita dan menahan produk sawit melibatkan syarikat negara atas dakwaan terbabit dalam kegiatan buruh paksa.

Pada Julai lepas, Jabatan Negara AS terus meletakkan negara pada tahap tiga laporan tahunan pemerdagangan manusia.

Laporan tersebut mendakwa kerajaan Malaysia tidak melakukan tindakan yang sewajarnya dalam menangani dakwaan berkenaan pemerdagangan buruh di negara ini, khususnya dalam industri pengeluaran kelapa sawit dan getah.

"Kita juga telah membincangkan tentang keberadaan Malaysia di Tahap 3 dalam Human Trafficking Report oleh US State Department. Dan saya nyatakan pukul 12 tadi Menteri Dalam Negeri sedang beri penerangan kepada Dewan Rakyat mengenai isu tersebut.

"Saya tekankan Malaysia sedang ambil tindakan yang kukuh untuk perbaiki keadaan dan perkara ini akan dibangkitkan juga oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama-sama dengan Speaker Pelosi," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, Pelosi memberi maklum balas yang cukup baik berhubung penerangan Malaysia.

“Respons yang cukup baik sekali kerana beliau amat teruja dengan keadaan kita di sini dan berkata ia merupakan sesuatu yang agak di luar jangkaan beliau.

“(Pelosi) datang dengan hati terbuka untuk belajar daripada pengalaman kita dan kita juga mempunyai hati yang terbuka untuk belajar daripada pengalaman Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Selain itu Azhar berkata, beliau turut memaklumkan perubahan dan penambahbaikan di peringkat Parlimen Malaysia, antara lain memperkenalkan dan membudayakan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas sepertimana menjadi amalan demokrasi sekian lama di AS.