Skip to main content

Bisnes

Usaha sama Filipina Zetrix AI meterai MOA dengan pelbagai entiti kerajaan bagi pembayaran digital

41752554856_MyEGZetrixAIBerhad.jpg
Menurut Zetrix AI, pemeteraian MOA dengan PPA turut membuka laluan kepada penyepaduan Sistem Pembayaran dan Kutipan Elektronik MYEG PH dengan portal pembayaran elektronik PPA.

KUALA LUMPUR: Zetrix AI Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd, mengumumkan usaha sama Filipina, MYEG Philippines Inc (MYEG PH), memeterai beberapa perjanjian bagi penyediaan perkhidmatan pembayaran digital dengan pelbagai agensi kerajaan.

Usaha itu bertujuan mengukuhkan kedudukannya dalam memacu pendigitalan perkhidmatan kerajaan di Filipina.

Zetrix AI menjelaskan perkhidmatan e-kerajaan utama kini ditambah dalam platform MYEG PH susulan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) Empat Pihak dengan Suruhanjaya Peraturan Profesional (PRC), Biro Perbendaharaan (BTr) dan Land Bank of the Philippines; MOA dengan Lembaga Pelabuhan Filipina (PPA); serta MOA dengan Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (BFAR).

“Kerjasama ini mengukuhkan usaha bersama-sama keempat-empat institusi untuk mempertingkatkan lagi pendigitalan perkhidmatan kerajaan serta menyediakan penyelesaian pembayaran yang lebih pantas, mudah dan mudah diakses kepada rakyat bagi urusan PRC masing-masing.

“Ini menjadikan proses pembayaran lebih mudah dan lancar untuk golongan profesional dan bakal profesional di seluruh negara,” jelasnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

Pada masa yang sama, Zetrix AI memaklumkan pemeteraian MOA dengan PPA turut membuka laluan kepada penyepaduan Sistem Pembayaran dan Kutipan Elektronik (EPCS) MYEG PH dengan portal pembayaran elektronik PPA.

“Melalui penyepaduan ini, pilihan untuk lebih 100,000 saluran pembayaran di seluruh negara yang tersedia melalui EPCS MYEG PH juga akan digunakan pihak berkepentingan pelabuhan untuk menyelesaikan pelbagai yuran berkaitan pelabuhan secara dalam talian dengan mudah.

“Ini termasuk fi akreditasi PPA, permit operasi, akreditasi pengangkutan dan pas kenderaan, fi pengendalian kargo dan dermaga, fi terminal penumpang serta caj perkhidmatan pelabuhan yang lain,” tambahnya.

Sementara itu, Zetrix AI menyatakan pemeteraian MOA dengan BFAR terus meningkatkan bilangan agensi kerajaan utama yang disokong dan dibantu oleh MYEG PH melalui sistem pembayarannya yang terkemuka di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif MYEG PH, Ann Margaret Saldaña berkata kerjasama tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam misi MYEG PH untuk mempercepat transformasi digital perkhidmatan kerajaan di Filipina.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement