KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari pertama pada Isnin kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa, pertukaran jawatan Ketua Pembangkang sebelum ini berpunca daripada perselisihan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Situasi itu tercetus ketika Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangun menjelaskan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bukan seorang Ahli Parlimen Bebas, sebaliknya merupakan ahli kepada sebuah parti politik yang berdaftar.
Takiyuddin yang juga Ketua Whip Pembangkang menegaskan, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Khoo ketika mencelah mendakwa pertukaran jawatan Ketua Pembangkang yang berlaku sebelum ini menunjukkan wujud pergaduhan antara Pas dan Bersatu.
“Ketua Pembangkang tiba-tiba tukar-menukar macam itu, itu adalah pergaduhan antara PAS dengan Bersatu. PAS buli Bersatu, sebab itu Ketua Pembangkang tukar-menukar. 'Double standard', tak profesional langsung,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataan itu mengundang reaksi beberapa Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki yang meminta Khoo supaya tidak terus membangkitkan isu berkenaan memandangkan penjelasan telah diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, turut bangun mencelah mengatakan 'lu siapa' sebelum suasana Dewan kembali terkawal.
Johari kemudian menegaskan. beliau telah meneliti semua dokumen dan pemakluman yang dikemukakan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang.
“Mungkin Kota Melaka datang lewat. Saya sudah jelaskan, semua dokumentasi telah saya perhalusi dan saya sahkan (Ahli Parlimen) Larut adalah Ketua Pembangkang,” katanya.
Sehubunbgan itu, Johari menjelaskan, tiada lagi perbahasan atau pertanyaan lanjut berhubung isu tersebut sebelum meneruskan urusan Dewan.
Terdahulu, Johari mengesahkan Hamzah Zainudin, kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkuat kuasa mulai 18 Jun lepas.