PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan permohonan kewarganegaraan hanya akan mengambil masa setahun apabila pindaan Perlembagaan diluluskan di Parlimen kelak.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, status permohonan juga akan dimaklumkan dalam tempoh berkenaan.

"Ini memang keluhan orang ramai, selepas mereka mengemukakan permohonan dan berurusan dengan kaunter, tiba-tiba gagal dan kita tidak bagi tahu. Hari ini, untuk warganegara, tadi saya sebut 14,000 (permohonan) di bawah kategori (kewargangeraan) 15A (Perlembagaan) sebelum 31 Disember ini kita selesaikan.

"Tapi tadi China Press sebut, (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) dulu pun janji macam itu juga, Jangan samakan saya dengan Hishamlah. Hisham anak bekas Perdana Menteri, saya anak driver bus. Tak sama, Hisham belajar di Malay College (Kuala Kangsar) sebelum sambung di England, saya belajar di sekolah kampung sahaja.

"Bagi saya peluang untuk selesai isu kewarganegaraan dan jangan banding saya dengan yang lepas-lepas. Ini komitmen yang saya nak bagi. Ini from bottom of my heart, betul-betul datang daripada hati saya. Saya hendak usaha sungguh-sungguh, jadi with all due respect, saya tidak mahu disamakan. Hisham sahabat saya, dia Timbalan Pemuda UMNO dan saya Setiausaha UMNO. We worked together dulu," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan dalam Majlis Perjumpaan Khas Menteri Dalam Negeri bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian, Jabatan, Agensi dan Pengamal Media 2024 di sini pada Isnin.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang kewarganegaraan dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Pada masa ini, seksyen tersebut hanya membenarkan kerakyatan automatik kepada anak-anak yang dilahirkan selepas 16 Sept 1963 (Hari Malaysia) di luar negara jika bapa mereka adalah warganegara Malaysia, dan bukan jika ibunya sahaja adalah warganegara Malaysia.