Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengeluarkan surat baharu untuk meyakinkan penduduk di Kampung Datuk Keramat tentang penurunan harga rumah mampu milik di lokasi berkenaan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ketiadaan dokumen baharu daripada DBKL menjadi punca penduduk merasa ditipu dengan pembinaan rumah mencecah RM2 juta ringgit yang jelas tidak mampu dimiliki.

"DBKL perlu mengakui kesilapan mengeluarkan surat asal yang mahu pembinaan rumah berharga lebih RM750,000 sehingga RM2 juta sebelum mengeluarkan surat baharu yang lebih rendah harganya.

"Kalau surat tidak betul, kenapa DBKL tidak keluarkan surat baharu. Beritahu orang kampung, beritahu saya sebagai wakil rakyat supaya rakyat tidak ditipu. Kalau Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak mengaku, siapa lagi hendak mengaku?" katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada Selasa, Johari mendesak DBKL mengarahkan pemaju tanah kontroversi di Kampung Datuk Keramat untuk membina hanya rumah mampu milik di kawasan berkenaan.

Tegasnya, pembinaan rumah mencecah sehingga setengah juta ringgit dilihat tidak mampu dimiliki penduduk Bumiputera sendiri.

Jelasnya, DBKL perlu melihat semla isu berkenaan dan mengeluarkan surat meminta pemaju mengikut harga rumah seperti yang termaktub dalam arahan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu katanya, masyarakat perlu faham perbezaan status tanah di Kampung Baru sebagai tanah komersial berbanding di Kampung Datuk Keramat.

"Adakah ada demonstrasi apabila UDA buat pembangunan di Kampung Baru? Kerana orang tahu peranan UDA ini yang membangunkan tanah komersial. UDA dapat juga bukan murah iaitu dengan harga RM38 juta.

"Tanah Kampung Baru berstatus komersial. Tanah itu 98 peratus milik individu dan bukan milik kerajaan. Kerajaan tidak boleh memaksa tuan punya tanah menjual tanah Kampung Baru dengan harga murah. Isu tanah Keramat adalah isu tanah kerajaan untuk rumah mampu milik yang dijual kepada syarikat swasta," ujarnya.

Sebelum ini, Johari menjelaskan, pembinaan kondominium di Kampung Baru merupakan asas memastikan pembangunan seimbang Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Baru (PITPKB).

Ujarnya, ia sekali gus menjadi penggerak pembangunan lain di sekitar ibu kota.