Skip to main content

Malaysia

Isu Lynas wajar dibincang di Parlimen

Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman_SINAR HARIAN
Mohd Nurkhuzaini berkata, isu Lynas melibatkan aset strategik negara. - Gambar fail/Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Dakwaan perjanjian Lynas Malaysia Sdn. Bhd. yang dikatakan membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat [Perjanjian DoW], wajar dibincangkan di Parlimen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ini kerana isu tersebut melibatkan aset strategik negara.

Advertisement

“Setuju dibincangkan (di Parlimen) sebab melibatkan aset strategik negara. Boleh dibincangkan dan terserah kepada ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini 57 pertubuhan yang mewakili pelbagai kumpulan dalam kalangan masyarakat Malaysia telah menyampaikan satu mesej yang sangat tegas, membantah perjanjian oleh Lynas untuk membekalkan oksida nadir bumi kepada Jabatan Perang Amerika Syarikat [Perjanjian DoW].

Dasar luar Malaysia berteraskan prinsip berkecuali (non-alignment). Perjanjian DoW ini akan menjadikan Malaysia satu titik dalam rantaian bekalan ketenteraan sebuah negara yang kini sedang melancarkan peperangan dan operasi ketenteraan di pelbagai wilayah.

Sebelum ini,  Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam kalangan 57 NGO itu menggesa Kerajaan Malaysia mengenakan syarat, langkah pembetulan atau jika perlu, menggantung atau membatalkan lesen Lynas untuk mencegah sebarang bantuan atau sokongan yang disengajakan kepada perbuatan yang salah di sisi undang-undang antarabangsa.

Sementara Ahli Majlis Politik Negeri Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Kedah, Mohamad Aiman Lutfi Mohamad Taufik, turut menggesa kerajaan  menarik balik lesen Lynas sekiranya terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Amerika Syarikat (AS) menggunakan bahan nadir bumi (REE) Lynas untuk kegunaan perang menentang Palestin.

Dalam pada itu ketika mengulas sumber mineral REE di Terengganu pula, Mohd. Nurkhuzaini berkata, ia merupakan kapasiti terbesar REE Malaysia yang perlu dibangunkan serta dimanfaatkan secara bertanggungjawab demi keamanan sejagat, bukan untuk menyokong industri yang membawa kemusnahan.

Katanya, pendirian ini selaras dengan prinsip sejagat penjagaan Alam sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) yang menjadi teras dalam pembangunan industri REE negeri, merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada aktiviti huluan (eksplorasi dan perlombongan), pemprosesan, sehingga ke aplikasi hiliran.

“Pendekatan ini memastikan bahawa setiap fasa pembangunan mematuhi standard antarabangsa kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial dan tadbir urus yang berintegriti.

“Negeri Terengganu khususnya memiliki kelebihan lebih strategik dengan kewujudan elemen nadir bumi berat (HREE) yang merupakan antara komponen paling bernilai tinggi dalam kumpulan REE.

“Elemen HREE seperti terbium (Tb) dan dysprosium (Dy) mempunyai sifat magnetik dan kestabilan suhu tinggi yang sangat kritikal bagi teknologi bahan termaju,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks global, HREE ini sering digunakan dalam sistem pertahanan seperti magnet berprestasi tinggi untuk radar, sistem peluru berpandu tepat, serta komponen elektronik ketenteraan berketahanan tinggi.

Namun demikian, beliau dengan tegas mengambil pendirian bahawa potensi strategik ini tidak boleh dieksploitasi bagi tujuan yang menyumbang kepada konflik kemusnahan serta bertentangan dengan prinsip ESG.

Sebaliknya, katanya, fokus utama seharusnya untuk menyalurkan sumber REE kepada industri yang menyokong pembangunan mampan dan kesejahteraan manusia seperti tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik, teknologi perubatan, serta sistem komunikasi dan digital yang memperkukuh keamanan global.

Must Watch Video