KUALA LUMPUR: Masih tiada peranan rasmi namun beliau (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah meminta saya meneliti sesuatu yang khusus, kata Khairy Jamaluddin.
Selaku bekas ahli parti yang diterima semula pada 17 April lalu, Khairy berpendapat masih terlalu awal untuk mendedahkan butiran mengenai perbincangannya bersama Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO.
Advertisement
“Tiada peranan rasmi, tetapi beliau meminta saya melihat satu atau dua perkara, saya sendiri meminta supaya tiada jawatan rasmi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Khairy turut menyatakan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana terbuka dalam mengakui kekurangan di antara kedua-dua pihak.
Namun selaku bekas Ketua Pemuda UMNO, beliau turut berharap agar parti dapat terus bekerjasama untuk terus melangkah ke hadapan.
“Saya ingin melihat UMNO diperkukuh semula dan kita tidak perlu menunggu 20 tahun lagi seperti yang disebut oleh Presiden, serta dapat menunjukkan prestasi baik dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Pada masa, Khairy berpendapat UMNO mempunyai perjalanan yang masih panjang untuk meraih semula kepercayaan pengundi.
Jelasnya, mengakui kesilapan sekadar langkah pertama namun ia harus disusuli dengan idea dan cadangan baharu mengenai apa yang dapat ditawarkan kepada para pengundi.
“Kita tidak boleh hanya berkata, ‘kita sudah buat silap, sekarang undilah kami semula’, tidak cukup sekadar mengenang masa lalu.
“Kita juga perlu tampil dengan idea dan cadangan baharu tentang apa yang boleh kita tawarkan kepada pengundi jika diberi peluang mentadbir semula,” katanya.
Pada 17 April, Ahmad Zahid memaklumkan Khairy, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berserta 6,252 bekas pimpinan dan ahli Peringkat Bahagian serta Cawangan seluruh Malaysia diterima kembali menyertai UMNO.
Khairy dilaporkan telah menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai UMNO kepada Ahmad Zahid pada 15 Mac.
Untuk rekod, pada 28 Januari 2023 Khairy dan beberapa pemimpin lain dipecat atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO.