KUCHING: Datuk Seri Fadillah Yusof berusaha menyelesaikan segala tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh sebulan seperti yang diamanahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tumpuan utama ketika ini adalah berbincang di peringkat kerajaan negeri Sabah dan Sarawak mengenai tuntutan negeri di peringkat persekutuan.

Menurutnya, beliau telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Mengeri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali untuk bertemu dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi melihat keutamaan di peringkat Sabah.

"Yang mana (perkara mudah) dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan ini kita selesaikan. Mana yang sudah dibincangkan dulu yang boleh dimuktamadkan, kita harap dapat dimuktamadkan dalam tempoh sebulan ini.

"Selebihnya inshaAllah kita akan melihat (memperincikan). Mungkin ia terpaksa dibawa ke Parlimen untuk diluluskan Dewan Rakyat makan kita bawa ke Dewan Rakyat," katanya ketika sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Khamis.

Turut hadir pada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Tambah Fadillah, beliau pulang ke Kuching adalah untuk bertemu dengan kepimpinan negeri bersama empat lagi menteri penuh lain daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selain kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau berkata pertemuan itu juga bertujuan mendapatkan hala tuju daripada kepimpinan negeri termasuk fokus yang perlu diberi keutamaan dalam memacu Sarawak dan negara.

"Kedua untuk kita bagi taklimat berhubung kait dengan status Kerajaan Perpaduan yang telah ditubuhkan hasil perbincangan di kabinet dan dari situ nanti kita akan berbincang dan bagaimana peranan kita daripada GPS dalam Kerajaan Perpaduan.

"Itu sebenarnya tujuan kami kembali. Sudah pasti bila balik, kita kena balik ke Sarawak dulu untuk berjumpa dengan kepimpinan untuk kita mendapat arah panduan di peringkat kepimpinan negeri, bagaimana kita nak letakkan perjuangan untuk Sarawak dan akhirnya untuk Malaysia itu sendiri," katanya.