KUALA LUMPUR:Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa (UNI-MLC) menyuarakan cadangan agar satu siasatan terperinci dilakukan oleh Kerajaan dalam isu penggantungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation (MARACorp), Datuk Badlisyah Abdul Ghani.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mencadangkan agar Perdana Menteri dan Menteri Kewangan melakukan siasatan itu bagi memastikan kemelut yang sama tidak berulang terhadap tokoh-tokoh berkaliber di negara ini.

"UNI-MLC terpanggil untuk memberi respon dalam hal kemelut MARA Corporation kebelakangan ini berkenaan penggantungan Ketua Pegawai Eksekutif MARACorp, Datuk Badlisyah Abdul Ghani yang tersiar dalam media baru-baru ini.

"UNI-MLC telah mendapat maklumbalas terperinci mengenai ketokohan dan integriti Datuk Badlisyah yang merupakan seorang ahli korporat professional yang dihormati di Malaysia dan di luar negara terutama ketika berkhidmat sebagai CEO CIMB Group Islamic Banking dan CIMB Islamic Bank Bhd yang pertama.

"Beliau juga merupakan mantan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lembaga Tabung Haji dan beliau menerajui Chartered Institute of Islamic Finance (CIIF) sebagai Pengerusi,"ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Oleh itu, jelasnya dengan pengalaman yang luas, ternyata bahawa pemilihan Badlisyah bagi jawatan itu amat tepat dan disambut baik oleh masyarakat kerana pengalaman beliau  akan memberi manafaat dan kelebihan kepada MARACorp untuk terus maju.

Namun, menurut Mohamed Shafie, baru-baru ini Badlisyah dilaporkan digantung tugas atas sebab-sebab tersirat.

BACA: CEO Kumpulan MARACorp digantung tugas?

"UNI-MLC mengingatkan pada awal tahun ini, kerajaan telah memberi jaminan bahawa walaupun kerajaan bertukar tangan akan tetapi jika pegawai korporat yang telah dipilih terdahulu adalah seorang yang berkaliber, mempunyai rekod yang cemerlang dan tahap professionalisma yang tinggi, kedudukan mereka tidak akan berubah.

"UNI-MLC berpendapat bahawa ada berbau politik dan niat kurang baik terhadap Datuk Badlisyah yang menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MARACorp.

"UNI-MLC memandang perkara ini sangat serius, walaupun seseorang pegawai itu mempunyai ketokohan, intergriti dan kredibiliti yang cemerlang boleh di tendang keluar mengikut emosi politik oleh mereka yang mempunyai kuasa.

"UNI MLC mencadangkan YAB Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan Malaysia menyiasat secara terperinci dalam kemelut ini kerana jika di biarkan kemungkinan lebih ramai tokoh-tokoh korporat yang berkaliber akan menjadi mangsa," ujarnya.

BACA: Penggantungan CEO Kumpulan MARACorp bukan keputusan politik

BACA: Isu MARA Corp: Ujian keikhlasan PN memperjuangkan ekonomi Melayu


Badlisyah yang dilantik pada 3 September lalu difahamkan digantung tugas pada November 2020 oleh Lembaga Pengarah MARACorp sementara menanti 'siasatan'.