Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail akan meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor tanda akur dengan keputusan yang dibuat oleh PKR.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor itu berkata beliau akur dengan keputusan partinya kerana mahu memelihara mandat dan menunaikan amanah diberikan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Selangor

“Saya ingin menjelaskan pendirian saya dalam konteks rentetan dan perkembangan mutakhir pentadbiran kerajaan di negeri Selangor.

“Dalam konteks itu, saya akan akur kepada keputusan PKR, yang saya menganggotainya. Keakuran saya itu, saya percaya, adalah untuk menunaikan amanah, memelihara mandat yang diberi rakyat pada PRU ke-13 lalu kepada PR untuk mentadbir negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan awal hari ini.

Sebelum ini, Rodziah dikekalkan dalam barisan exco pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor Adun Pelabuhan Klang itu mengumumkan pemecatan lima exco PKR dan DAP pada Selasa.

Rodziah menjelaskan, ketika Abdul Khalid memecat lima exco kerajaan Selangor itu, beliau berada di Bangkok menghadiri kursus politik mewakIli PKR.