MALAYSIA
Isu obesiti, diabetes antara penekanan KKM dalam Belanjawan 2026

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Program Roczen Universal di Rail and River Event Hall, Batu Caves hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi penekanan khusus terhadap isu obesiti dan diabetes dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentang pada Oktober ini.
Ringkasan AI
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Belanjawan 2026 akan beri tumpuan khusus kepada isu obesiti dan diabetes.
- NHMS 2023 merekodkan 3.55 juta rakyat menghidap diabetes dan 4.58 juta alami obesiti, penyakit ini menyumbang lebih 70% kematian pramatang.
- KKM bekerjasama dengan Reset Health melalui program Roczen Universal dan sasarkan 1,0002,000 peserta obes sertai projek perintis di Gombak.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan 'Roczen Universal' yang dibangunkan oleh Reset Health dan diiktiraf Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom sebagai sebahagian rawatan bersepadu bagi pesakit diabetes.
Dzulkefly bekata obesiti, diabetes, penyakit jantung, strok dan kanser kini menyumbang kepada lebih 70 peratus kematian pramatang dan memerlukan kos lebih RM64 bilion setahun bagi perbelanjaan untuk rawatan dan penjagaan serta akibat kehilangan produktiviti dan kematian awal.
KKM juga katanya telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Reset Health pada September tahun lepas dan memilih Gombak sebagai lokasi perintis program itu melibatkan sembilan komuniti Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) termasuk Kawasan Rukun Tetangga, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
"Bermula bulan ini, kita menyasarkan 1,000 hingga 2,000 peserta berlebihan berat badan atau obes untuk menyertai kumpulan penilaian program," katanya.
Terdahulu, beliau turut menyaksikan pertukaran MoC antara Reset Academy of Metabolic Sciences diwakili Pengerusi Eksekutif Reset Health Dr David Wong dan Prof Dr Rosmawati Mohammed mewakili Akademi Perubatan Malaysia, sebagai satu langkah penting untuk melatih lebih ramai profesional dalam pengurusan berat badan dan obesiti di negara ini.
Program Roczen Universal adalah platform kesihatan digital komprehensif yang direka untuk membantu individu menurunkan berat badan dan paras gula dalam darah mereka secara percuma.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami