Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menutup sebarang tuduhan sebaliknya sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab berhubung isu status tanah Paya Indah Wetlands.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong cukup jelas.

"YB Elizabeth telah beri penjelasan, kalau ada maklumat tambahan kita boleh berikan penjelasan, tetapi setakat semalam setelah mendapatkan maklumat daripada Pejabat Daerah (Kuala Langat) dan juga PTG (Pejabat Tanah dan Galian) penjelasannya cukup komprehensif.

"Saya kira jawapan yang telah diberikan Elizabeth cukup lengkap untuk menangkis tohmahan mereka yang makan dedak dan juga mahu menggugat Kerajaan Negeri.

"Saya kira kerajaan negeri sentiasa mengambil sikap terbuka dan sekiranya ada sebarang tuduhan mereka boleh laporkan kepada pihak bertanggungjawab dan kita bersedia untuk memberikan kerjasama dalam mana-mana siasatan. Itu pendirian kerajaan negeri daripada awal. Kita tidak akan menutup sebarang tuduhan," katanya ketika ditemui media di perkarangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Semalam, Elizabeth menegaskan tidak berlaku sebarang pengezonan gunaan tanah di lot 4827 dan 3974 milik Paya Indah Wetlands buat masa kini.

Katanya, tanah berkeluasan 450.76 hektar itu diwartakan Jabatan Perhilitan sebagai Rizab Tanah Paya di bawah Kanun Tanah Negara sejak 1998.

BACA: Tiada pengezonan gunaan tanah milik Paya Indah Wetlands

Bagaimanapun, Elizabeth mengakui tanah yang dinyatakan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin iaitu lot 68054 adalah milik Salak Land Development Sendirian Berhad dan tidak termasuk dalam kawasan Paya Indah Wetlands yang diwartakan sebagai kawasan pertanian.

Ditanya apakah mesej Datuk Seri Mohamed Azmin kepada Badrul Hisham yang membuat tuduhan tersebut kepada Kerajaan Negeri Selangor, beliau hanya berkata; "jangan makan dedak".

Berdasarkan pendedahan Badrul Hisham di dalam minit mesyuarat ketika pimpinan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2014, lot berkenaan termasuk di dalam kawasan Paya Indah Wetlands.

Tan Sri Abdul Khalid katanya telah menolak permohonan mengubah dan meminda syarat nyata di bawah Seksyen 124 (1)(a) dan (c) Kanun Tanah Negara daripada pertanian kepada bangunan kediaman kerana kawasan tersebut terletak di dalam Paya Indah Wetlands.

Malah, empat menteri besar sebelum ini juga melakukan perkara sama dengan mahu mengekalkan kawasan tersebut sebagai kawasan hijau tidak seperti yang dilakukan oleh Azmin yang menukar kawasan berkenaan bagi tujuan pembangunan.

Pada satu sidang media pagi tadi, Badrul berkata tanah di Lot 68504 tanah seluas 1529 telah ditukar status ke kawasan pembangunan pada tahun 2015 dan geran telah siap dipinda pada 9 April 2016.