KUALA LUMPUR: Rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan semakan kehakiman membabitkan pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara, mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 berkuat kuasa Januari 2022, akan diputuskan Mahkamah Rayuan, esok.
Keputusan berkenaan akan disampaikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lim Chong Fong, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid pada 9 pagi.
Advertisement
Pada 9 Sept tahun lepas, panel berkenaan selesai mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi yang mewakili kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) selaku perayu, manakala peguam Datuk Dr Baljit Singh Sindhu dan Datuk Dr Abd Shukor Ahmad mewakli pesara Aminah Ahmad.
Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam kanan di Kementerian Luar, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan 2024, atas kapasiti beliau sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.
Pada 16 Jan 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh membenarkan semakan kehakiman Aminah dan mengarahkan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan.
Bagaimanapun, pada 4 Mac tahun lepas, Amarjeet membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran tunggakan pencen kepada 531,976 pesara berjumlah RM1.7 bilion, sementara menunggu pelupusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Aminah memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden mempercepat pelarasan pencen mengikut jumlah kelayakan berdasarkan formula terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum ia dipinda menerusi Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).
Beliau turut memohon perintah supaya tunggakan pencen dibayar dalam tempoh 14 hari, selain pengisytiharan bahawa kegagalan berbuat demikian adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji semasa penjawat awam yang masih berkhidmat dalam gred berkenaan. Namun pindaan 2013 memperkenalkan kaedah baharu dengan kenaikan kadar tetap dua peratus setahun.
Aminah pada awalnya tewas dalam kes berkenaan di Mahkamah Tinggi pada 2020. Beliau kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang memihak kepada beliau. Kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam seterusnya memperoleh kebenaran untuk merayu pada 2023.
Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pindaan pencen itu terbatal dan tidak sah. Panel lima hakim turut menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk mengetepikan keputusan mahkamah berkenaan.
-- BERNAMA