Isu pelarasan pencen: Permohonan pesara tentera untuk kebenaran merayu ditolak

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bagi kebenaran merayu oleh 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengetepikan keputusan mengenai pelarasan pencen. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bagi kebenaran merayu oleh 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengetepikan keputusan mengenai pelarasan pencen.
Ringkasan AI
- Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia untuk merayu keputusan pelarasan pencen dengan majoriti 2-1, tanpa perintah mengenai kos.
- Keputusan panel hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan berhubung isu pelarasan pencen pesara ATM.
- Pesara-pesara ATM telah gagal membuktikan bahawa pihak kerajaan melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pelarasan pencen.
Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Ketika menyampaikan keputusan majoriti, Abu Bakar berkata isu yang dikemukakan oleh pemohon bukanlah persoalan undang-undang sebaliknya bersifat fakta.
Beliau juga berkata tiada kekhilafan yang jelas dan Mahkamah Rayuan telah memberikan alasan penghakiman yang terperinci ketika membenarkan rayuan kerajaan.
Ketika menyampaikan keputusan yang bertentangan, Vazeer berkata permohonan pesara terbabit telah memenuhi syarat minimum di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan sepatutnya diberikan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Keputusan panel itu secara tidak langsung telah mengekalkan perintah Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan.
Pada 4 Jun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu bahawa pesara ATM bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak mendapat pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang dinikmati pesara selepas tarikh berkenaan.
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan dan Majlis ATM selaku responden, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu
Mahkamah Rayuan berpendapat pesara ATM gagal membuktikan pihak responden melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Seramai 50 anggota ATM pelbagai pangkat termasuk mejar, leftenan, sarjan staf dan prebet, memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 17 Nov 2022 bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
Mereka mendakwa kegagalan itu telah menyebabkan wujud jurang ketara jumlah pencen antara pesara ATM yang bersara sebelum dan selepas tarikh berkenaan.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Nurul Huda Razali mewakili kumpulan pesara terbabit manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi serta Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali hadir bagi pihak kerajaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


