IPOH: Satu pertemuan dengan pihak berkepentingan akan diadakan minggu depan bagi membincangkan secara menyeluruh isu pemindahan tiga ekor gajah Malaysia, iaitu Dara, Amoi dan Kelat, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching.
Beliau berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung perkara berkenaan.
Advertisement
"Hasil daripada perbincangan itu akan menjadi asas kepada pendirian rasmi kerajaan negeri sebelum satu kenyataan yang lebih lengkap dan komprehensif dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ng berkata kerajaan negeri menghargai keprihatinan pelbagai pihak terhadap isu tersebut dan kekal komited dalam memastikan aspek kebajikan haiwan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
Pada Rabu, Arthur berkata pengurusan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) wajar memulakan rundingan dengan pihak Tennoji Zoo Osaka di Jepun bagi menilai keperluan dan mekanisme untuk membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air memandangkan mereka adalah pihak mempunyai obligasi kontraktual.
Pada hari yang sama Wan Rosdy berkata ZTNS digesa mengambil tindakan segera membawa pulang tiga ekor gajah itu untuk ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh.
Sebelum ini, tiga gajah berkenaan dihantar ke Jepun sebagai usaha memantapkan program konservasi dan pembiakan dengan persiapan rapi dan pemantauan dilakukan supaya dapat menyesuaikan diri dengan baik.
-- BERNAMA