Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kelulusan lesen ‘bunkering’ dipendek kepada beberapa minggu mulai Feb 2027 - Loke

Anthony Loke Siew FookMalaysia Maritime Week 2026
Loke hadir pada Malaysia Maritime Week (MMW) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di Malaysia hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan proses kelulusan lesen dan permit berkaitan sektor ‘bunkering’ dipendekkan daripada tempoh sehingga enam atau tujuh bulan kepada hanya beberapa minggu mulai Februari tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu susulan penetapan Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai agensi peneraju tunggal bagi sektor ‘bunkering’, dengan semua permohonan berkaitan akan diproses menerusi satu saluran di bawah kementerian itu.

Beliau berkata langkah berkenaan dijadualkan berkuat kuasa 1 Februari 2027, sekali gus memudahkan pemain industri mendapatkan kelulusan tanpa perlu berurusan dengan pelbagai agensi dan jabatan.

“Pada masa ini, syarikat ‘bunkering’ yang ingin mendapatkan permit perlu pergi kepada pelbagai agensi dan jabatan. Jadi, kita sedang menyatukannya di bawah satu saluran di MOT.

“Sebarang permit berkaitan ‘bunkering’ akan diproses melalui satu saluran di bawah MOT. Ini akan berlaku pada Februari tahun depan,” katanya ketika ditemui pada Malaysia Maritime Week (MMW) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), di sini hari ini.

‘Bunkering’ merupakan proses pengisian bahan api ke dalam tangki simpanan sesebuah kapal atau pengangkutan maritim yang lain untuk kegunaan pelayaran dan operasi kapal tersebut.

Mengulas lanjut, Loke berkata usaha tersebut bukan bermaksud MOT mengambil alih bidang kuasa kementerian atau agensi lain, sebaliknya mengintegrasikan proses kelulusan bagi memudahkan urusan pemain industri.

“Sebagai contoh, penjualan minyak berada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Jadi, kita tidak mengambil alih bidang kuasa mereka, tetapi cuba mengintegrasikan proses.

“Kelulusan masih dalam bidang kuasa mereka, tetapi kita memprosesnya melalui satu saluran supaya bagi syarikat dan sektor swasta, ia lebih mudah,” ujar beliau.

Menurut beliau, mandat berkenaan telah diberikan oleh Jemaah Menteri dan MOT kini sedang menyelaras proses pelaksanaannya bersama kementerian, jabatan serta agensi berkaitan.

Sementara itu, Loke berkata Malaysia turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor ‘green bunkering’ susulan peningkatan permintaan global terhadap bahan api alternatif dalam industri perkapalan.

Beliau berkata perkembangan itu selaras dengan komitmen di bawah Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi menggalakkan penggunaan bahan api lebih hijau seperti metanol, gas asli cecair (LNG) dan ammonia.

“Ini semua adalah sektor baharu yang perlu dibangunkan. Pelabuhan kita mesti bersedia, peraturan kita mesti bersedia dan kita juga perlu mempunyai prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan Malaysia bekerjasama dengan kerajaan Australia dalam membangunkan pelan hala tuju ‘green bunkering’ yang merangkumi proses dan SOP bagi memastikan negara bersedia membangunkan sektor berkenaan.

Anthony turut memaklumkan industri maritim memainkan peranan penting terhadap ekonomi negara, terutama dalam menyokong kelancaran perdagangan antarabangsa Malaysia.

Beliau berkata kira-kira 98 peratus perdagangan antarabangsa Malaysia diangkut melalui laut, sekali gus menjadikan pelabuhan sebagai komponen penting dalam rantaian perdagangan negara.

“Pembangunan sektor ‘bunkering’ dan 'green bunkering' merupakan antara perkembangan penting dalam agenda maritim negara, termasuk usaha memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia di laluan perdagangan antarabangsa,” ujarnya.

 

Must Watch Video

Advertisement