PUTRAJAYA: Ahli politik digesa agar tidak menjadikan isu penggunaan kalimah Allah sebagai alat untuk kepentingan politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ahli politik perlu berhati-hati dan memastikan kesahihan fakta serta bertanggungjawab dalam membuat kenyataan.

"Tugas saya ialah untuk memberikan fakta terhadap kes ini. Saya gesa semua ahli politik supaya mengambil tanggungjawab kerana isu ini sensitif. Mereka semua tahu... tapi sambil nak kaut kepentingan politik, jangan belakangkan fakta.

"Mahkamah tidak pernah memutuskan soal agama, ia adalah aspek pelanggaran atau percanggahan terhadap keputusan Kabinet dengan arahan pentadbiran, itu saja," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan Jabatan Pendaftaran Negara, pada Khamis.

Jelasnya, perkara itu perlu diselesaikan dengan menyeluruh, dan kerajaan persekutuan akan bertemu dengan Majlis Raja-raja tidak lama lagi bagi membentangkan cadangan memperkukuh penguatkuasaan terhadap penggunaan kalimah Allah.

Pada Isnin, kerajaan mengesahkan telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang memihak kepada penganut Kristian dari suku Melanau asli, Jill Ireland Lawrence Bill.

Tindakan itu menamatkan isu perundangan selama 15 tahun yang bermula apabila kerajaan merampas lapan CD pendidikan Bumiputera Sarawak yang mengandungi perkataan "Allah", yang digunakan untuk kegunaan peribadi.

Beliau sekali lagi mengulangi bahawa isu penggunaan kalimah Allah itu berpunca daripada dua arahan kerajaan yang bercanggah.

Keputusan dasar Kabinet pada Mei 1986 tidak mengenakan larangan sepenuhnya ke atas empat perkataan termasuk Allah, manakala arahan pentadbiran yang dikeluarkan pada Disember 1986 oleh Kementerian Dalam Negeri pula melarang sepenuhnya terhadap empat perkataan itu.

Saifuddin Nasution juga menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tidak membabitkan isu teologi atau sebarang perbahasan agama dalam kes Jill Ireland.

“Hakikatnya tetap bahawa mahkamah tidak pernah memutuskan aspek teologi, ia atas sebab arahan yang bercanggah.

"Keputusan Kabinet 1986 tidak pernah dipertikaikan kerana tiada dokumen untuk membuktikan sebaliknya bahawa perkataan itu tidak boleh digunakan," katanya lagi.