KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) hari ini menjelaskan bahawa ia tidak pernah diswastakan sebaliknya masih kekal sebagai entiti korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Menyentuh ulasan 'Pesara Prihatin' baru-baru ini yang mendakwa IJN telah diswastakan serta enggan memberi rawatan kepada penjawat awam yang sudah bersara, institusi pakar jantung itu memaklumkan bahawa komitmennya untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang cemerlang kepada penjawat awam tidak pernah goyah dan ia berusaha keras menawarkan rawatan perubatan pada tahap tertinggi kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang.

"IJN memandang serius tuduhan dalam ulasan Pesara Prihatin baru-baru ini yang tersebar di platform media sosial dan WhatsApp kerana kandungannya adalah tidak tepat dan tidak wajar kepada organisasi.

"Kami menghargai sokongan tidak berbelah bahagi penjawat awam dan pesara yang sudah lama bersama kami sejak awal penubuhan IJN. Sumbangan mereka telah memainkan peranan penting dalam membentuk IJN untuk menjadi seperti sekarang, komitmen kami terhadap kesejahteraan dan kesihatan rakyat Malaysia kekal utuh," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pesara Prihatin mendakwa IJN telah mengarahkan pesakitnya untuk ke hospital lain termasuk bekas penjawat awam kerana ia kini dalam fasa peralihan ke arah penswastaan.

Menurut IJN, walaupun beroperasi di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan, misi utama mereka kekal iaitu menyediakan perkhidmatan perubatan yang bermutu kepada semua rakyat Malaysia termasuk penjawat awam, pesara dan rakyat daripada pelbagai sektor serta pesakit dari negara jiran.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan rawatan di pusat itu, IJN berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menggariskan bahawa semua kakitangan kerajaan, pesara dan tanggungan mereka perlu mendapatkan rujukan daripada pakar perubatan umum, pakar kardiologi atau pakar perubatan kecemasan di klinik atau hospital sama ada kerajaan atau swasta.

"Pesakit dengan surat jaminan (GL) kerajaan boleh merujuk kepada pekeliling JPA Lampiran SR. 2.1.1 (G) yang terdapat dalam portal rasmi MyPPSM atau merujuk kepada bahagian sumber manusia mereka mengenai proses ini kerana setiap agensi kerajaan mempunyai terma dan syarat tersendiri mengenai kelayakan dan perlindungan pekerja mereka apabila mendapatkan rawatan di pusat kami.

"Oleh itu, susulan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 12/2002-GGaris Panduan Rawatan Susulan di IJN bagi Pesakit Tanggungan Kerajaan, pesakit hendaklah didiscaj ke hospital yang merujuk 12 bulan selepas menjalani prosedur atau pembedahan, dengan syarat pesakit memerlukan rawatan dan pengurusan susulan," katanya sambil menambah IJN wajib mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, IJN mendedahkan bahawa kira-kira 84.7 peratus beban tugas mereka adalah pesakit daripada sektor kerajaan (pekerja, pesara dan tanggungan mereka), 14.9 peratus adalah pesakit swasta yang membuat pembayaran (perlindungan insurans dan tunai) manakala 0.4 peratus adalah pesakit warga asing.

-- BERNAMA