KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyelar pihak yang sengaja memainkan isu orang bukan Melayu boleh diangkat sebagai Perdana Menteri di negara ini.

Tegasnya, perkara itu seharusnya bukan perkara yang perlu dibimbangi namun sengaja dibangkitkan untuk menimbulkan spekulasi.

"Itu memang dalam Perlembagaan...tapi orang Melayu masih majoriti, kenapa nak bincang hal itu (Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu)? Itu sengaja dibuat untuk melahirkan persepsi.

"Orang Melayu semakin ramai... beranak ramai. Orang Cina tak mahu beranak. Itu sengaja dimainkan, nak perangkap minda rakyat supaya Perikatan Nasional (PN) menyelamatkan kedudukan mereka.

"Tapi PN sudah ada lima (Ahli Parlimen) yang menyokong Perdana Menteri. Saya yakin akan ada lagi sebab itu mereka naikkan isu-isu seperti ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di Bangsar, di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, ahli politik veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyebut tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan 'Impian Malaysia'.