Program Pembangunan Bangsa Bersatu (UNDP) memuji usaha kerajaan Malaysia untuk menyatukan komuniti saintis dengan kerajaan dalam menangani isu perubahan cuaca.

Wakil Tetap UNDP Malaysia Michelle Gyles-McDonnough berkata, pemahaman saintifik mampu membantu kerajaan dalam mencari jalan terbaik dalam merangka perundangan berkesan.

"Adalah amat penting untuk kita berubah daripada menguruskan bencana kepada menguruskan risiko.

"Dalam usaha menguruskan risiko, semestinya pemahaman mendalam tentang risiko memerlukan pemahaman yang jelas dalam hal sains dan teknologi.

"Kami (di UNDP) melihat ini hubungan yang amat jelas kerana maklumat dapatan saintis boleh digunakan untuk perancangan, merangka program serta mendapat tindakbalas yang lebih baik," katanya dalam sidang media sempena Forum Memajukan Sains dan Teknologi dalam pelaksanaan Rangka Kerja Sendai Bagi Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Profesor Tan Sri Zakri Abdul Hamid memberitahu, Malaysia menjadi negara peneraju kepada negara membangun dalam menjayakan usaha ini.

"Di Malaysia, kita peka dan sentiasa memberi perhatian dalam mempromosikan dialog antara saintis dengan ahli politik.

"Perdana Menteri sendiri sentiasa memberi perhatian dengan komuniti saintis dan inilah tugas saya membawa pandangan mereka kepada pihak kerajaan," katanya.

Dalam ucaptamanya, Prof Tan Sri Zakri memberitahu, Malaysia kerugian AS$2.8 billion (RM11.2 bilion) dalam kejadian banjir besar yang berlaku di Kelantan.

Justeru itu katanya, pengurusan risiko yang digunapakai ketika ini ialah untuk memanfaatkan dapatan sains dan teknologi untuk pembuat keputusan merancang kesiapsagaan, tindak balas serta pemulihan untuk mana-mana situasi bencana alam.