PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan lawatan kerja ke Thailand pada 2 Mei  depan untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan negara itu.

Lawatan itu bertujuan membincangkan dan menyelesaikan isu dasar berkaitan perkhidmatan rel kereta api rentas sempadan, Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, sekali gus memastikan jaringan tersebut dapat dioperasikan merentasi sempadan dan diperluas ke seluruh Asia.

“Apa yang lebih penting pada hari ini ialah bagaimana menggunakan aset kereta api kita ini untuk kepentingan strategik serantau iaitu kita mahu menghubungkan negara-negara ASEAN  ini melalui rel.

“Apabila kita dapat menghubungkan negara-negara ini melalui rangkaian rel, ia akan meningkatkan keterhubungan serantau,” katanya.

Loke berkata Malaysia mempunyai kelebihan dari segi sempadan laut dengan pelabuhan-pelabuhan yang strategik, dan perlu memainkan peranan penting dalam menghubungkan benua ASEAN melalui sektor rel.

Jelas beliau, kedudukan Malaysia yang strategik di rantau ini merupakan satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membangunkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mesti menggunakan kelebihan ini untuk membangunkan ekonomi kita (Malaysia) agar  pelabuhan kita akan dapat berdaya saing di mana sektor rel kita dapat dapat berkembang maju," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan dan Raikan Kasih MADANI di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan Putrajaya pada Selasa.

Usaha merealisasikan Rangkaian Kereta Api Pan-Asia ini disokong penuh oleh China merupakan langkah strategik dalam memperkukuh sambungan pengangkutan serantau.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, rangkaian rel itu yang turut dikenali sebagai Rangkaian Kereta Api Kunming–Singapura, menghubungkan bandar Kunming di China dengan Singapura, melalui beberapa negara Asia Tenggara.

Malaysia memainkan peranan penting dalam rangkaian itu, terutamanya melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.