Skip to main content

Malaysia

Isu rumah ibadat: Watak-watak tiup sentimen agama, kaum akan didedah kepada Kabinet - Saifuddin

Putrajaya , 12 Febuari 2026. Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Saifuddin Nasution menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Setia Perkasa Putrajaya.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata isu rumah ibadat bukan sesuatu yang baharu, namun dihangatkan kembali oleh pihak berkepentingan. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar

PUTRAJAYA: Ada pihak tertentu cuba memanipulasi isu rumah ibadat dengan memainkan sentimen agama dan kaum demi meraih keuntungan politik jangka pendek, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Jumaat bagi memaklumkan tindakan yang diambil pihaknya, untuk memelihara ketenteraman awam.

Advertisement

“Watak-watak ini mengeksploitasi isu emotif, sehingga tidak nampak niat mereka untuk mengangkat formula penyelesaian.

“Esok saya akan memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri tentang keadaan sebenar, watak-watak yang terlibat dan bagaimana pihak polis berusaha untuk mengawal keadaan,” jelas Saifuddin dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN, di sini, pada Khamis.

Tambah Saifuddin, isu rumah ibadat ini bukan sesuatu yang baharu, namun dihangatkan kembali oleh pihak berkepentingan.

“Semua pihak perlu berpegang kepada proses dan saluran undang-undang, bukannya mengambil tindakan sendiri yang boleh mencetuskan provokasi.

“Kalau berkaitan dengan tanah, libatkan kerajaan negeri. Kalau berkaitan pelan tempatan, libatkan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kalau berkaitan isu undang-undang dan sebagainya, lihat balik undang-undang apa yang ada dan di bawah kawalan penguatkuasaan mana.

“Harus ambil sikap untuk menyelesaikan, isu ini boleh menjejaskan keselamatan negara dan kesejahteraan awam,” kata Saifuddin.

Tambahnya, setiap pihak perlu menerima Malaysia adalah negara dengan kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya.

“Sensitiviti perlu dijaga, kebebasan untuk beragama harus dihormati. Patuhi jalur hukum dan lunas undang-undang, kebebasan bersuara bukan bermaksud kebebasan untuk menghasut.

“Kita pernah melalui peristiwa hitam tetapi jauh lebih lama adalah kita menikmati kehidupan yang rukun damai, penuh harmoni dan saling hormat, jadi biarlah kita terus kekal dengan gaya hidup sekarang,” ujar Saifuddin.

Must Watch Video