SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, membenarkan pasport bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dipulangkan sementara, bagi menunaikan haji Mei depan.
Peguam, Muhammad Zaim Rosli yang mewakili Nasiruddin, 67, berkata, Hakim, Datin Fatimah Zahari membenarkan permohonan tersebut selepas tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan.
Advertisement
Menurutnya, anak guam dijangka bertolak dari tanah air ke Mekah menerusi sebuah agensi umrah dan haji, pada 13 Mei hingga 12 Jun.
“Dokumen perjalanan itu telah diperoleh hari ini dan kita akan teruskan dengan permohonan untuk mendapatkan visa bermula 12 Februari hingga 30 Mac.
“Selepas permohonan visa berjaya, kita akan serahkan kembali pasport itu kepada mahkamah pada atau sebelum 30 Mac.
“Mahkamah akan mengembalikan pasport sama, sebelum anak guam meneruskan perjalanan ke tanah suci, pada 4 Mei depan,” katanya.
Peguam itu berkata, anak guam perlu mengembalikan pasport untuk disimpan oleh mahkamah selesai pada atau sebelum 15 Jun, iaitu tiga hari selepas selesai menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
Serahan pasport kepada mahkamah merupakan salah satu syarat tambahan ikat jamin, yang perlu dipatuhi, bagi mana-mana tertuduh yang berdepan pertuduhan kes serius.
Pada 10 September 2025, Nasiruddin dan tiga bekas akauntan syarikat itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Kedah, atas 331 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) lebih RM38.1 juta.
Dari jumlah itu Nasiruddin berdepan 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank sekitar Selangor antara 2020 hingga 2024, melibatkan transaksi kepada beberapa pihak antaranya akaun bank milik GISBH Sdn Bhd, GISB Mart Sdn Bhd, GISB Travel and Tours Sdn Bhd serta syarikat pusat jagaan kanak-kanak.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi. - Sinar Harian