Isu sempadan Kemboja-Thailand: Malaysia terus berperanan selaku pemudah cara - PM Anwar

Anwar berkata beliau hari ini telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi menilai perkembangan terkini berkaitan isu itu. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab, terutamanya dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berkaitan isu sempadan kedua-dua negara.
Ringkasan AI
- Malaysia komited sebagai pemudah cara adil dan bertanggungjawab dalam membantu Thailand dan Kemboja menyelesaikan isu sempadan.
- PM Anwar Ibrahim berhubung dengan PM Kemboja Hun Manet untuk menilai perkembangan isu tersebut dan menghargai pendekatan damai Kemboja.
- Panglima Angkatan Tentera Thailand menggantung perjanjian dengan Kemboja selepas letupan periuk api di sempadan, meningkatkan ketegangan antara kedua negara.
"Dalam perbincangan tersebut, saya menghargai setulusnya pendekatan yang matang yang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan pada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat.
"Malaysia tentunya mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran yang telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar prinsip berkenaan penting bagi memastikan sebarang perbedaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau.
Sementara itu, Manet dalam catatan Facebooknya hari ini menyatakan terima kasih kepada Anwar kerana terus memainkan peranan penting dan aktif dalam memudahkan dan mencari penyelesaian secara aman antara Kemboja dan Thailand.
Media antarabangsa melaporkan pada Isnin, Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja berikutan letupan periuk api di sempadan sekali gus meningkatkan lagi ketegangan selepas pertempuran pada Julai.
Empat askar Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup semasa rondaan di wilayah Sisaket dengan seorang kehilangan kaki kanan.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Hun Manet, disaksikan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


