KUALA TERENGGANU: Kekurangan pengetahuan dan kefahaman mengenai isu telekomunikasi, terutama dalam kalangan pemimpin masyarakat, menyebabkan penyertaan rakyat dalam hal yang berkaitan kurang berkesan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata berbeza daripada masalah lain, isu capaian Internet yang lemah misalnya tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebaliknya ia perlu diuji menggunakan peralatan tertentu.

"Kalau jalan raya (rosak) boleh nampak, (masalah) Internet tak nampak, boleh tengok dalam telefon saja. Nak jadi laju, banyak kerja di belakang tapi banyak (orang) yang tak faham.

"Apa nak buat kalau liputan tak kuat?.. oleh kerana tak tahu dan tak faham maka penyertaan rakyat dalam hal berkaitan kurang berkesan," katanya pada Majlis Iftar Menteri Komunikasi dan Multimedia Bersama Komuniti Negeri Terengganu di sini pada Sabtu.

Beliau berkata dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap isu capaian Internet, pihaknya mengambil pendekatan untuk 'merakyatkan' telekomunikasi dan berusaha meningkatkan kefahaman dalam hal berkaitan menerusi beberapa siri jelajah.

Annuar berkata antara inisiatif yang dilakukan ialah turun sendiri ke lokasi dan memeriksa tahap kekuatan capaian Internet menggunakan peranti khusus serta memastikan kelajuan adalah sama seperti yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi (telco).

"Pada masa yang sama, kita adakan sesi libat urus dengan telco supaya tolong merakyatkan telekomunikasi dan tengok masalah rakyat. Jangan fikir untung tapi (fikir) sejauh mana mereka turut melabur untuk membaiki mutu perkhidmatan Internet.

"Keperluan terhadap perkhidmatan komunikasi yang baik dan berkelas dunia sudah menjadi kemestian yang amat besar dan kerajaan sentiasa memberi komitmen untuk menaik taraf mutu telekomunikasi," katanya.

Beliau berkata bagi menangani pelbagai isu berkaitan telekomunikasi, pihaknya amat memerlukan maklumat dari bawah terutama pemimpin masyarakat.

Katanya maklumat terperinci diperlukan bagi mengenal pasti kawasan yang berdepan isu telekomunikasi sama ada ia memerlukan menara baharu atau menara sedia ada perlu dinaik taraf.

-- BERNAMA