KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kenyataan dimuat naik Timbalan Ketua Menteri ll Pulau Pinang, P Ramasamy di Facebooknya mengenai isu penukaran agama selepas menerima enam laporan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, hantaran itu berunsur provokatif dan mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana mengaitkan pihak berkuasa agama negeri Perlis.

"Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 505 (c) dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ia masing-masing kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum, kenyataan mengaibkan boleh menyebabkan pecah keamanan serta penggunaan tidak wajar rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan bertajuk Unilateral Conversion In Perlis? A Sense Of Deja Vu dimuat naik di akaun Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu pada 13 Februari lalu antara lain mengaitkan pihak berkuasa agama Perlis dengan istilah pengislaman unilateral, penculikan, manipulasi, paksaan serta ancaman dalam mengulas isu hak penjagaan anak seorang wanita.

Tambah Abdul Jalil, ketika ini siasatan masih diteruskan dan polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap isu yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama yang boleh menjejaskan siasatan.

"Mereka turut digesa supaya menjadi pengguna media yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit hingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan jabatan kebajikan masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.