KUALA LUMPUR: Itali dan Malaysia menegaskan komitmen untuk mengukuhkan hubungan pertahanan, dengan kedua-dua negara meneroka kerjasama yang lebih luas dalam perolehan, kerjasama ketenteraan dan pemindahan teknologi susulan perbincangan peringkat tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut agensi berita Itali ANSA, Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella berkata komitmen itu ditekankan semasa kunjungan hormatnya ke atas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan pada Selasa.
Beliau berkata kunjungan hormat itu menekankan komitmen bersama Itali dan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam sektor pertahanan dan menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang kepentingan bersama.
“Itali bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mengukuhkan lagi kerjasama cemerlang kami, menyumbang kepada keupayaan pertahanan negara Malaysia dalam semangat Dasar Perindustrian Pertahanan Negara.
"Dari sektor maritim kepada sektor siber, Itali bersedia untuk meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang pertahanan menerusi kerjasama yang semakin luas dan saling menguntungkan," kata Langella di luar mesyuarat itu.
Sementara itu, Mohamed Khaled menekankan kepentingan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara, termasuk kerjasama ketenteraan, pemindahan teknologi dan potensi Malaysia untuk menjadi hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serantau, mengkhususkan pada perkhidmatan pesawat dan komponen.
“Saya yakin hubungan pertahanan antara Itali dan Malaysia akan terus berkembang melalui kerjasama yang lebih luas dan strategik untuk manfaat bersama kita,” katanya.
-- BERNAMA