Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) memohon kerajaan mengkaji semula permohonan kenaikan elaun aggotanya.

Pengarah JPBM Datuk Wira Mohd Nor Ibrahim berkata sebanyak tiga permohonan dibuat oleh jabatan berkenaan kepada kerajaan bersesuaian dengan tugasan anggotanya yang kini semakin mencabar.

Antara permohonan yang dibuat adalah membabitkan elaun bantuan insentif bomba, elaun khas kerajaan kepada unit beruniform dan elaun atas panggilan (on call).

“Saya rasa tiba masanya kerajaan mengkaji semula elaun yang dipohon… banyak juga kita dapat pertanyaan dan seruan daripada ahli-ahli parlimen yang menggesa kerajaan melihat faedah yang diberikan kepada pasukan bomba.

“Saya ingat kita juga melihat kesungguhan sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan kepada anggota bomba,” kata Mohd Nor kepada pemberita.

Menurutnya buat masa ini sebanyak lima puluh peratus kenaikan dipohon JPBM iaitu RM440 bagi elaun bantuan insentif dan RM220 bagi elaun khas.

Manakala, katanya elaun ‘on call’ diberikan penambahan mengikut jam anggota berkenaan bekerja.

Beliau berkata seramai 14,000 anggota bomba bakal menikmati elaun berkenaan sekiranya ia diluluskan.

Terdahulu Datuk Wira Mohd Nor Ibrahim menyampaikan bantuan banjir kepada anggota di akademi bomba Wakaf Tapai, Marang.

Sementara itu, Mohd Nor memaklumkan sebanyak 70 peratus daripada 14,000 anggota JPBM dibekukan cuti musim Aidilfitri ini.

Menurut beliau, antara sebabnya ialah setiap kali perayaan banyak kes seperti kemalangan berlaku.

Katanya kemalangan bukan sahaja membabitkan laluan di lebuhraya malah di jalan raya persekutuan .

“Semua 277 balai dalam keadaan bersiap sedia menghadapi musim perayaan dan kita juga bersiap sedia di 16 lokasi tambahan iaitu di Lebuhraya Utara Selatan dan juga Pantai Timur.

“Ini sebagai tambahan kepada balai dimana kita bersiap sedia dekat dengan lokasi plaza tol,” kata Mohd Nor.

Katanya 16 lokasi baru berhampiran lebuh raya itu adalah penambahan balai operasi bagi mempercepat pergerakan anggota penyelamat ketika berlaku kecemasan.

Dalam pada itu Wan Mohd berkata kesemua aset jabatan bomba akan digerakkan jika berlaku kecemasan ketika perayaan meskipun 30 peratus anggota dibenarkan bercuti.

Selain itu, beliau berkata anggota bomba bantuan dan sukarelawan yang ingin menawarkan khidmat untuk membantu jabatan ketika musim perayaan amat di alu alukan.