Skip to main content

Sukan

Malaysia julang trofi pertama Piala Dunia acara kuadran

KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Pasukan sepak takraw kebangsaan menjulang piala kejuaraan selepas berjaya menewaskan India pada perlawanan akhir acara kuadran pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa hari ini.  Malaysia menang dengan keputusan 2-0.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pasukan sepak takraw kebangsaan menjulang piala kejuaraan selepas berjaya menewaskan India pada perlawanan akhir acara kuadran pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia menjulang trofi sulung acara kuadran selepas ‘merejam’ India 2-0 pada aksi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa di sini malam tadi. 

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi menerima tonik tambahan hasil sokongan luar biasa kira-kira 3,000 penonton yang membanjiri stadium yang digelar Home of Sepak Takraw itu. 

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun bermula goyah pada awal set pertama apabila melakukan beberapa kesilapan, termasuk servis Aidil Aiman yang memberi kelebihan kepada India untuk mendahului sehingga 4-0, namun Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 5-5. 

Perlawanan semakin mendebarkan apabila pasukan pelawat terus melakukan beberapa rejaman kencang selain Malaysia turut membalas serangan sehingga mata terikat 15-15, sebelum kemenangan set pertama memihak kepada Malaysia 17-15. 

Set kedua menyaksikan aksi penuh dramatik, namun skuad negara tampil lebih yakin dengan mendahului 10-7 untuk memberi tekanan kepada India yang diwakili Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh sebelum menang 15-10, sekali gus dinobatkan sebagai raja dunia acara kuadran pada kejuaraan berprestij itu.

Sementara itu, kapten pasukan Amirul Zazwan ketika mengulas mengenai pertemuan itu mengakui skuad negara bergelut dalam setiap perlawanan sejak peringkat kumpulan sehingga bertemu India pada aksi final berkenaan. 

Beliau berkata pertemuan menentang India pada kejuaraan kali ini lebih sukar berbanding pada Piala Asia tahun lepas. 

“… tapi saya rasa saingan tahun lepas tidak sekuat saingan tahun ini. Jadi, tahun ini sangat-sangat mencabar bagi diri saya. Kami memang tertekan, sejak awal kami lawan dengan Singapura, permainan kami tak keluar habis.

“… tapi saya yakin kami mampu buat yang terbaik ketika lawan India. Bagi saya, kami perlu lebih fokus, berbeza dengan acara kuadran berpasukan. Perlu sesuaikan macam mana cara nak terima servis,” katanya selepas perlawanan. 

Sementara itu, aksi final acara regu menyaksikan Thailand menebus kekecewaan sekadar bergelar naib juara Piala Asia tahun lepas dengan menjuarai kempen Piala Dunia selepas menumpaskan Myanmar 2-1

Kedua-dua pasukan bermula garang untuk mengutip mata sebelum terikat 8-8, namun Thailand membuktikan kehebatannya dengan menjarakkan kedudukan 11-8 sebelum mencatat kemenangan set pertama 15-8. 

Memasuki set kedua, perlawanan lebih mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling bertukar servis namun kemenangan kali ini berpihak kepada Myanmar 15-13, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan. 

Tersentak dengan kekalahan itu, Thailand kembali mendapat rentak untuk mendahului sebelum mencatat kemenangan 15-7 dan menjulang kejuaraan Piala Dunia bagi acara regu. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement