MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka meningkatkan kawalan dan pemantauan terhadap tiga penyakit utama yang sering berlaku ketika musim panas, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata, tiga penyakit tersebut adalah kekejangan haba, kelesuan haba dan strok haba selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Melaka antara negeri terkesan dengan cuaca panas bermula Selasa (19 Mac) lalu.

Beliau berkata, sehingga 19 Mac juga, Alor Gajah termasuk di dalam kawasan berstatus amaran Tahap 1 iaitu tahap berjaga-jaga apabila suhu persekitaran mencapai 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

"Pemantauan dijalankan di semua hospital dan klinik kesihatan di Melaka bermula Minggu Epidemiologi (ME) 1 sehingga ME 12 (1 Jan hingga 19 Mac 2024) bagaimanapun mendapati tiada kes penyakit akibat cuaca panas ini.

"Bagaimanapun, pemantauan terhadap penyakit ini masih diteruskan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, bagi pengurusan kesihatan kes akibat cuaca panas, garis panduan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba terbitan Kementerian Kesihatan pada 2021 adalah digunakan sebagai rujukan serta promosi pencegahan penyakit akibat cuaca panas ini dipertingkatkan melalui hebahan media sosial jabatan.

"Justeru orang ramai terutama golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik disaran agar sentiasa menjaga kesihatan dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kesan kesihatan cuaca panas terutama di bulan Ramadan ini," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan langkah-langkah pencegahan kesihatan boleh didapati menerusi laman sesawang http://infosihat.moh.gov.my/cuaca-panas.html dan http://myhealth.moh.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan. - BERNAMA