KUANTAN: Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) memberi jaminan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan yang tular di media sosial hari ini.

Pengarah JKNP Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata punca kematian kanak-kanak itu yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penyakit lewat perkembangan dan congenital laryngomalacia juga masih dalam siasatan.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada 9.34 pagi hari ini selepas lima hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh bermula 12 Julai lepas.

"Kanak-kanak itu pada mulanya dibawa warisnya ke Klinik Kesihatan Lurah Bilut di Bentong pada 11.30 pagi 12 Julai dengan gejala cirit-birit yang didakwa bermula sehari sebelumnya.

"Berdasarkan dokumentasi di klinik didapati pemeriksaan fizikal adalah normal dan tiada tanda pesakit mengalami dehidrasi dan telah dibenarkan pulang dengan rawatan," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata waris kanak-kanak itu bagaimanapun telah membawanya ke klinik swasta pada hari sama dan diberi surat rujukan ke hospital, menyebabkan kanak-kanak itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Bentong pada 4.20 petang 12 Julai lepas.

Kanak-kanak itu kemudian dirujuk ke HoSHAS pada hari yang sama sebelum keadaan menjadi semakin kritikal selepas lima hari rawatan.

"Jabatan ini akan membuat siasatan dan mengambil tindakan lanjut. JKNP sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kualiti perkhidmatan perubatan kepada pesakit terjamin," katanya.

Terdahulu, status seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut tular di media sosial, meluahkan rasa marah dan terkilan terhadap rawatan diterima anaknya di sebuah fasiliti kesihatan kerajaan di Bentong.

-- BERNAMA