KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memohon Mahkamah Tinggi di sini supaya membatalkan saman yang difailkan oleh sebuah persatuan dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing, bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat hak menjadi warganegara Malaysia.

Antara alasan permohonan itu perlu dibatalkan adalah saman yang difailkan melalui saman pemula adalah suatu yang remeh serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang bertindak bagi pihak kerajaan berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan berhubung kanak-kanak yang dilahirkan di luar Malaysia, adalah jelas bahawa hanya yang dilahirkan berbapakan warga Malaysia sahaja yang berhak mendapat kewarganegaraan melalui proses undang-undang.

"Oleh itu, plaintif gagal menunjukkan bahawa hak mereka terhadap undang-undang telah terjejas atau prejudis oleh tindakan defendan (kerajaan).

"Tidak ada hak undang-undang yang mungkin terjejas apabila perkara itu tidak wujud. Tuntutan plaintif  jelas tidak kukuh," katanya ketika prosiding permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan saman itu di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Pada 18 Dis 2020, saman itu difailkan presiden dan pemegang jawatan Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor KL (Family Frontiers) Suriani Kempe dan enam wanita Malaysia lain yang menuntut enam perintah mahkamah khusus termasuk perisytiharan bahawa Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1 (c) dibaca secara bersama dengan Perkara 8 (2) untuk memasukkan ibu-ibu Malaysia sebagai syarat bagi anak-anak yang lahir di luar negeri untuk diberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka juga memohon perintah mahkamah supaya semua agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Malaysia mengeluarkan semua dokumen yang berkaitan dengan kewarganegaraan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu-ibu Malaysia dengan pasangan warga asing.

Ahmad Hanir berhujah bahawa Suriani yang merupakan plaintif pertama tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang mengemukakan saman itu terhadap kerajaan.

"Plaintift perlu terjejas dengan ketara atau mempunyai kepentingan tulen dalam kes ini dan Suriani tidak mempunyai hak di sisi undang-undang yang diperlukan untuk memfailkan saman itu hanya kerana peranannya sebagai presiden Family Frontiers," katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili semua plaintif berhujah bahawa jika permohonan defendan untuk membatalkan saman itu dibenarkan, ia akan menyekat peluang negara untuk bersuara dan di hadapan mahkamah ini adalah isu undang-undang mengenai diskriminasi gender berdasarkan meritnya.

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu ditafsirkan secara selaras untuk mengelak situasi Perkara 8 Perlembagaan dianggap tidak bermakna, katanya.

Peguam itu  juga berhujah bahawa pintu mahkamah tidak boleh ditutup kepada mereka pada tahap ini dan mereka tidak boleh dinafikan hak untuk mendapat akses keadilan, dan Mahkamah Tinggi perlu mendengarnya daripada menolaknya sekarang.

Akhtar menetapkan 6 Mei untuk memutuskan sama ada saman itu dibatalkan atau terus mendengar kes berkenaan.

-- BERNAMA