KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara dijangka mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, dalam masa terdekat.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata SOP berkenaan akan memperincikan aspek lawatan, kawalan serta pemantauan pergerakan bekas perdana menteri itu.
βSaya difahamkan akan ada SOP yang dikeluarkan bagi tujuan tahanan rumah,β katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata Najib perlu menjelaskan denda RM50 juta di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum proses tahanan rumah boleh diteruskan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Jumaat berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda pada Jumaat.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Sabitan yang sedang dijalani beliau membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, manakala kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam proses perbicaraan dan rayuan.
Pada 11 Sept lalu, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat bagi mempertimbangkan, antara lain, permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan berhubung sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Bagaimanapun, lembaga itu kemudian menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.
Pada Julai 2020, Najib disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan didenda RM210 juta serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Namun, pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan hukuman penjara Najib dikurangkan 50 peratus daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda.