MELAKA: Jabatan Perhutanan Negeri Melaka menyasarkan kira-kira 100,000 pokok ditanam hingga hujung tahun ini menerusi Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan di seluruh negara sejak awal Januari lepas.

Pengarahnya Khirun Nizam Abdul Rahim berkata sehingga semalam, sejumlah 17,455,690 batang pokok berjaya ditanam dan direkodkan dalam aplikasi Program Penghijauan Malaysia membabitkan pelbagai spesies dalam usaha melindungi dan memelihara khazanah hutan negara.

"Pada mulanya kita menyasarkan sebanyak 200,000 pokok untuk ditanam tahun ini namun disebabkan pandemik melanda, jumlah itu terpaksa dikurangkan namun kita percaya mampu mencapai sasaran berdasarkan usaha dan sokongan pelbagai pihak yang turut menyumbang dalam aktiviti penanaman pokok seperti jabatan dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Selain itu kita juga mengadakan program restorasi di hutan simpanan kekal dan akan menanam sebanyak 20,000 pokok di Hutan Simpan Bukit Sedanan pada November nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembudayaan Integriti-Hijaukan Bumi Kita anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perhutanan negeri di Alai di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah SPRM Melaka Penolong Kanan Pesuruhjaya Mohd Shahril Che Saad.

Pada program itu, sebanyak 54 batang pokok ditanam iaitu pokok Gelam, Tembusu Padang dan Bintagor sebagai simbolik ulang tahun penubuhan ke-54 SPRM pada tahun ini.

Khirun Nizam berkata kebanyakan pokok yang ditanam di Melaka adalah daripada jenis Meranti dan Keruing di hutan manakala di kawasan bandar-bandar membabitkan pokok landskap dan pokok teduhan.

"Pada masa kini, keluasan kawasan hutan simpanan kekal di Melaka lebih kurang 5,199.49 hektar atau tiga peratus daripada keluasan negeri dan kawasan ini dipelihara bagi tujuan pelbagai fungsi seperti hutan tadahan air, hutan perlindungan tanah, hutan kawalan banjir, hutan lipur, hutan penyelidikan dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA