IPOH: Jabatan Perikanan Perak menghantar sepasukan anggotanya bagi menyiasat kesahihan dakwaan yang tular mengenai penemuan bangkai ikan lumba-lumba jenis Irrawaddy di Ban Pecah, Tanjung Piandang, hari ini.
Pengarah Perikanan Perak Mohd Ghazali A. Manap berkata buat masa ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung penemuan bangkai ikan lumba-lumba berkenaan, sebaliknya hanya mengetahui tentang kejadian itu selepas video berdurasi 27 saat tersebut tular di media sosial.
“Pasukan dari Pejabat Perikanan Kuala Kurau digerakkan ke lokasi pagi ini bagi mengesahkan sama ada bangkai mamalia marin itu masih berada di kawasan berkenaan atau video yang tular merupakan rakaman lama.
“Kalau bangkai ikan lumba-lumba itu ditemui, kita akan mengambilnya untuk menjalankan autopsi di Pusat Penyelidikan Perikanan bagi mengenal pasti punca kematian. Selepas itu, bangkai tersebut akan dipelihara untuk mendapatkan rangka sebagai spesimen,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 4 Ogos lepas, video memaparkan penemuan bangkai mamalia marin yang dikongsi menerusi platform Instagram itu mendapat perhatian netizen selain ramai meluahkan kebimbangan terhadap keadaan hidupan marin di perairan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai bangkai ikan lumba-lumba itu, Mohd Ghazali berkata melalui pemerhatian video yang tular, mamalia marin tersebut dianggarkan sepanjang dua meter dan berusia sekitar tujuh hingga sembilan tahun.
Beliau berkata penemuan spesies berkenaan di kawasan itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan perairan tersebut merupakan antara laluan mamalia marin itu untuk mencari makanan.
“Identiti sebenar haiwan itu tidak boleh dipastikan hanya berdasarkan rakaman video, sebaliknya memerlukan pemeriksaan lanjut terhadap spesimen sebenar.
“Cuma kalau mengikut rekod, ikan ini boleh mencapai panjang maksimum sekitar tiga meter, mempunyai jangka hayat hingga 30 tahun dan lazimnya mencapai kematangan pada usia antara tujuh hingga sembilan tahun,” katanya.
-- BERNAMA