Ringkasan AI
- Bursa Malaysia mengarahkan Zetrix AI Bhd menyelesaikan isu kegagalan pembayaran dividen akhir tahun 2025 sebelum 23 November 2026.
- Bursa turut menuntut pendedahan maklumat penting selewat-lewatnya pada 11 November 2026 serta menyatakan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan dan isu tadbir urus syarikat.
- Bursa Malaysia menegaskan komitmen untuk meneliti semua fakta sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan demi mengekalkan integriti dan keyakinan pasaran.
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengarahkan Zetrix AI Bhd untuk menyelesaikan isu kegagalan pembayaran dividen akhir tahun 2025 sebelum 23 Nov 2026 dan mendedahkan maklumat penting yang berkaitan selewat-lewatnya pada 11 Nov 2026.
Bursa Malaysia dalam kenyataan hari ini menyatakan kebimbangan terhadap kegagalan Zetrix AI membayar dividen, kedudukan kewangannya, bayaran tertunggak kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta peletakan jawatan pengarah bebas dan juruaudit luar syarikat itu.
Selain itu, turut dibangkitkan ialah kebimbangan mengenai skim opsyen saham pekerja (SOSP) syarikat dan kesan penggantungan pelantikannya sebagai ejen kutipan JPJ.
"Sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan, Bursa Malaysia perlu memastikan semua fakta dan keadaan yang berkaitan telah diteliti sepenuhnya, bukti yang menyokong sebarang penemuan pelanggaran telah dinilai dengan teliti dan keperluan prosedur yang terpakai telah dipenuhi.
"Membuktikan berlakunya sesuatu pelanggaran tidak bermakna keperluan untuk mematuhi proses sewajarnya boleh diketepikan.
“Sebarang keputusan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan mestilah berasas, disokong oleh alasan yang jelas, mempunyai asas kukuh dan mampu dipertahankan apabila diteliti," menurut Bursa Malaysia.
Bursa Malaysia memaklumkan untuk kekal komited bagi mendukung integriti pasaran, menggalakkan piawaian tadbir urus korporat dan pendedahan maklumat yang tinggi serta mengekalkan keyakinan pelabur melalui pasaran yang adil, telus dan teratur.
-- BERNAMA