KUALA LUMPUR: Perak menjadi negeri terbaharu dilanda banjir dengan 83 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini, manakala jumlah mangsa banjir di Selangor menunjukkan penurunan kepada 1,160 orang berbanding 1,253 orang, pagi tadi.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) memaklumkan, kesemua mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap di Hilir Perak, sejak 10 pagi tadi.
“Kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Batu 8, Batu 9 dan Batu 7 ½ di Changkat Jong serta Kampung Batu 11 ½ Jalan Bidor, yang terjejas akibat banjir melanda kawasan berkenaan malam tadi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, 26 mangsa daripada tujuh keluarga dari Pekan Beruas, Taman Beruas, Taman Desa, Perumahan Awam, Taman Seri Delima, Taman Limau Emas, Taman Anggerik, Kampung Kilang, Kampung Dendang dan Kampung Paya Lima, yang terjejas akibat ribut masih berlindung di PPS Dewan Komuniti Manjung.
Di SELANGOR, sebanyak 338 keluarga masih berlindung di 10 PPS di Kuala Selangor, Shah Alam dan Klang setakat petang ini dengan lima daripadanya dibuka di Kuala Selangor, menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Lima PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman yang menempatkan 637 mangsa daripada 153 keluarga, SK Dato' Maharaja Lela (123 mangsa, 43 keluarga), SK Parit Mahang (56 mangsa, 13 keluarga), Sekolah Agama Batu Lapan Ijok (51 mangsa, 16 keluarga) dan SK Jaya Setia (46 mangsa, 15 keluarga).
Di Shah Alam, sebanyak 199 mangsa daripada 59 keluarga ditempatkan di empat PPS, iaitu SK Merbau Sempak (83 mangsa, 32 keluarga), Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Seksyen U5 (51 mangsa, 13 keluarga), Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang (50 mangsa, 11 keluarga) dan Dewan Seri Pagi, Kampung Paya Jaras (15 mangsa, tiga keluarga).
Sementara itu, 48 mangsa daripada 39 keluarga masih berlindung di Dewan Masjid Al-Taqwa, Bukit Kapar, Klang.
-- BERNAMA