Masyarakat terdekat terutama jiran, guru dan saudara-mara wajar bersikap 'busy body' atau menjaga tepi kain orang' memandangkan kes penderaan kanak-kanak yang berlaku semakin meruncing dan berleluasa sekarang.

Menyarankan demikian, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, kebanyakan data yang diterima kes penderaan dilakukan oleh anggota keluarga sendiri atau ibu atau bapa mangsa.

"Kanak-kanak tidak tahu untuk melaporkan sendiri apatah lagi kanak-kanak yang berumur dua tahun ke bawah. Jadi masyarakat sekarang perlu 'busy body' untuk elakkan penderaan berlaku.

"Banyak kes yang kita pergi, apabila ada kematian, saudara-mara akan cakap terdengar anak menangis. Bermaksud orang terdekat tahu, tapi mereka rasa 'nothing will happen'. Jadi kita minta orang terdekat seperti jiran, cikgu dan saudara-mara untuk laporkan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Kaunter Bergerak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Beautiful Gate Foundation for the Disabled Kepong, di sini hari ini.

Yeoh berkata orang ramai boleh menghubungi talian Kasih di talian 15999 beroperasi 24 jam yang memberi perkhidmatan kecemasan dan pertanyaan serta aduan mengenai penderaan, pengabaian, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

Menurutnya, statistik menunjukkan sebanyak 864 kes penderaan dilakukan oleh ibu manakala 520 kes dilakukan oleh bapa setakat Jun tahun lepas.

Sementara itu seramai 250 orang kurang upaya (OKU) hari ini memanfaatkan kaunter bergerak Lembaga LHDN dan JKM yang dibuka khusus untuk golongan ini bagi memudahkan urusan mengemaskini maklumat Bantuan Sara Hidup 2019 (BSH) dan bantuan JKM.

Beliau berkata dengan adanya kaunter bergerak ini golongan OKU ini tidak perlu lagi ke dua tempat berasingan untuk urusan kemaskini BSH 2019 selain mendapatkan info terbaharu daripada LHDN dan JKM. -- Bernama