Penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berharap kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu yang berjalan ketika ini dapat digunakan oleh para pemimpin tempatan sebagai platform untuk mendengar luahan hati penduduk terutama yang berkaitan isu setempat.

Isu kebajikan rakyat, pembinaan infrastruktur dan pembangunan antara masalah penduduk setempat di Gugusan Felda Chini selain perkampungan tradisional dan Orang Asli, yang perlu diberi perhatian oleh bakal wakil rakyat kawasan itu serta pimpinan kerajaan.

Bagi masyarakat setempat, PRK inilah sebagai batu loncatan terbaik untuk mereka menyuarakan masalah yang mungkin terlepas pandang dan keluhan yang belum diselesaikan sejak sekian lama.

Bagi peneroka Felda generasi pertama Ibrahim Aman, 69, berkata masalah gangguan bekalan air di kawasan Gugusan Felda Chini berlaku setiap kali musim kemarau sejak 30 tahun lepas perlu diambil perhatian dan diselesaikan segera.

"Minta tolong selesaikan hal ni dahulu. Percepatkan naik taraf loji air itu. Cukuplah terpaksa angkut air paya yang merah menyala (keruh) itu," katanya ketika ditemui Bernama.

Pada 2017 Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM18 juta untuk membina Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga namun berlaku kelewatan selepas itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail baru-baru ini berkata, kerja pembinaan akan bermula September ini dan proses menyiapkannya mengambil masa 12 bulan.

Ia bakal memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar Gugusan Felda Chini serta kampung tradisional seperti Paloh Hinai, Kampung Mambang, Kampung Padang Rumbia dan Gumum.

Seorang lagi peneroka tempatan Othman Saad, 67, pula meminta kerajaan menyelesaikan masalah pembinaan perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai menyebabkan ada dalam kalangan anak Felda masih menumpang teduh di rumah ibu bapa.

Katanya, pihak kerajaan harus memikirkan satu mekanisme bagi memudahkan cara anak peneroka yang bekerja sendiri mengusahakan ladang sedia ada dan membeli rumah selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia agar mereka tidak merantau jauh mencari peluang rezeki.

"Daripada buka kepada orang luar membeli rumah, lebih baiklah tolong mereka (generasi kedua Felda) ini dulu. Kami hidup dah tak lama nanti bila orang muda semua berhijrah, jadi kampung mati," katanya.

Isu infrastruktur asas turut dibangkitkan oleh seorang peniaga buah-buahan Rusdiyah Arkib, 43, yang mahu lampu jalan diperbanyakkan dan jalan raya yang mendap dan berlubang diperbaiki demi keselamatan bersama.

"Isu ini jangan diperlekehkan sebab ia melibatkan keselamatan kita. Sekarang ini jalan Salong-Kuantan banyak berlubang disebabkan lori besar keluar masuk dan sudah ramai orang kampung yang kemalangan disebabkan jalan yang teruk terutama waktu malam," katanya.

Bagi golongan belia pula, mereka mengharapkan pembinaan kompleks sukan untuk aktiviti beriadah.

"Dulu memang ada kompleks sukan tetapi telah diambil alih. Jadi kami dah tiada tempat khusus untuk melakukan aktiviti sukan seperti gelanggang futsal, sepak takraw dan badminton," kata Mohd Dinie Jaffar, 25 tahun.

PRK DUN Chini, yang memiliki keluasan 590.23 kilometer persegi, menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli. Pengundian ditetapkan pada 4 Julai ini.

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal.

-- BERNAMA