Skip to main content

Malaysia

Jakim adakan solat hajat, doa mohon perlindungan daripada bencana jerebu

BANGI, 11 Feb -- Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Sekretariat Dakwah JAKIM di Bangi Resort Hotel hari ini.    --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil langkah mengadakan solat hajat dan bacaan doa susulan keadaan jerebu yang melanda negara serta beberapa negeri ketika ini.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil langkah mengadakan solat hajat dan bacaan doa susulan keadaan jerebu yang melanda negara serta beberapa negeri ketika ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, usaha berkenaan menjadi sebahagian daripada ikhtiar umat Islam dalam memohon perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT.

Menurutnya, program itu turut dilaksanakan sebagai tanda kebersamaan dengan masyarakat yang kini berdepan kesan daripada bencana jerebu.

“Jakim menyambut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, supaya kita bersama-sama menzahirkan solidariti dan mendoakan saudara kita yang sedang melalui ujian akibat keadaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha tersebut juga mengambil kira titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru rakyat supaya bersama-sama berdoa memohon pertolongan Allah SWT.

“Titah tersebut menjadi panduan untuk kita sama-sama meningkatkan usaha kerohanian, khususnya dengan memanjatkan doa demi kesejahteraan mereka yang terjejas,” katanya.

Sehubungan itu, Sirajuddin berkata, Jakim akan mengadakan solat hajat dan bacaan doa di tiga masjid utama yang berada di bawah seliaan jabatan berkenaan.

“Program ini akan dilaksanakan selepas solat Maghrib hari ini sebagai usaha memohon agar Allah SWT memberikan perlindungan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau pada masa sama mengajak umat Islam di seluruh negara untuk turut mengambil bahagian dalam solat hajat dan bacaan doa di masjid, surau atau secara bersama di lokasi masing-masing.

“Seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, diseru supaya bersama-sama menadah tangan memohon keampunan, perlindungan dan keselamatan daripada Allah SWT,” katanya.

Menurut Sirajuddin, doa itu juga diharapkan dapat menjadi ikhtiar bersama ketika masyarakat berdepan keadaan cuaca dan kualiti udara yang tidak menentu.

“Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik, keselamatan serta ketenangan dalam menghadapi cabaran yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, keprihatinan terhadap mereka yang terkesan perlu diteruskan dengan sokongan semua pihak, selain mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga keselamatan diri dan keluarga.

“Dalam masa yang sama, kita mendoakan agar mereka yang terkesan diberikan kekuatan dan dipermudah segala urusan dalam menghadapi situasi ini,” katanya.

Beliau berkata, Jakim berharap doa dan usaha kerohanian yang dilaksanakan itu dapat menyatukan masyarakat untuk sama-sama memohon kesejahteraan negara.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar keadaan ini segera pulih dan mereka yang berada di kawasan terjejas diberikan perlindungan serta kekuatan,” katanya.

Tambahnya, Jakim akan terus menyokong usaha yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya ketika negara berdepan situasi yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Semoga Allah SWT memulihkan keadaan di semua kawasan yang terjejas dan memberikan ketenangan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement