Skip to main content

Bisnes

JIWA SME Sabah 2026: Dari Kiulu, Victor Organik tembus pasaran serantau

Victor Organik dinobatkan sebagai penerima tempat kedua Anugerah Penyertaan Berimpak Tinggi menerusi Pentas Jual JIWA SME Sabah 2026, baru-baru ini. - Foto Victor Organik
Victor Organik dinobatkan sebagai penerima tempat kedua Anugerah Penyertaan Berimpak Tinggi menerusi Pentas Jual JIWA SME Sabah 2026, baru-baru ini. - Foto Victor Organik

Advertisement

KOTA KINABALU: Bermula hanya di ruang parkir berbumbung di rumah dengan sebuah mesin yang perlu diputar secara manual, Victor Organik Sdn Bhd kini berkembang menjadi pengeluar makanan ikan dan ternakan dari Kiulu, Sabah dengan produk menembusi pasaran luar negara.

Perjalanan itu turut membuahkan pengiktirafan apabila Victor Organik dinobatkan sebagai penerima tempat kedua Anugerah Penyertaan Berimpak Tinggi menerusi Pentas Jual JIWA SME Sabah 2026, sekali gus mengiktiraf potensi dan keunikan produk keluaran syarikat berkenaan.

Diasaskan pada 2016, syarikat yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Victor Saliman itu pada awalnya hanya memenuhi permintaan sekitar 50 kilogram seminggu, dengan kapasiti maksimum tidak melebihi 200 kilogram sebulan.

Image
[INSERT]_JIWA SME VICTOR 1_Victor Organik
Tiga produk utama Victor Organik ialah Starter berharga RM4.80 sekilogram, Grower RM4 sekilogram dan Finisher RM3 sekilogram dengan pilihan saiz antara 1 hingga 8 milimeter mengikut peringkat tumbesaran ikan. - Foto Victor Organik

Cabaran utama ketika itu termasuk mendapatkan kepercayaan penternak terhadap produk moden serta meningkatkan tahap automasi. Mesin pertama yang digunakan hanya berkapasiti 70 kilogram sehari sebelum syarikat mula membangunkan mesin separa automatik sendiri antara 2017 hingga 2019.

Lebih menarik, sebahagian mesin tersebut dihasilkan sendiri menggunakan besi terpakai yang dibeli dari tapak besi buruk, ketika kemampuan kewangan syarikat masih terhad.

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil. Bermula dengan pemasangan sebuah mesin berkapasiti 150 kilogram sejam pada 2019, Victor Organik kini mampu menghasilkan sehingga 2,200 kilogram produk siap sehari, berbanding permintaan semasa yang dianggarkan mencecah 3,500 kilogram sehari dan terus meningkat.

Lebih 90 peratus pengeluaran syarikat kini terdiri daripada makanan ikan, termasuk tiga produk utama iaitu Starter berharga RM4.80 sekilogram, Grower RM4 sekilogram dan Finisher RM3 sekilogram, dengan pilihan saiz antara 1 hingga 8 milimeter mengikut peringkat tumbesaran ikan.

Produk Victor Organik boleh didapati menerusi rangkaian ejen di beberapa kawasan di Sabah termasuk Tuaran, Penampang, Keningau, Tambunan, Ranau, Sook, Tenom, Matunggung, Kota Marudu, Pitas, Telupid, Beluran, Sapi Nangoh dan Sandakan, selain pasaran di Tarakan, Indonesia, Luzon, Filipina dan Brunei.

Image
[INSERT]_JIWA SME VICTOR 2_Victor Organik
Produk Victor Organik boleh didapati menerusi rangkaian ejen di beberapa kawasan di Sabah. - Foto Victor Organik

Menerusi Pentas Jual JIWA SME, usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi ruang mengetengahkan produk, model perniagaan dan potensi pasaran di hadapan panel juri, sekali gus membuka peluang kepada pendedahan serta jaringan perniagaan yang lebih luas.

Berteraskan misi menyediakan sumber makanan untuk ternakan tanpa bahan kimia dan bahan pengawet, Victor Organik turut merancang memperluas rangkaian kepada makanan ayam pedaging dan penelur, arnab, itik penelur, kambing, babi serta lembu tenusu dan pedaging.

Daripada sebuah operasi kecil di parkir rumah, kisah Victor Organik mencerminkan bagaimana keterbatasan tidak menghalang sebuah perusahaan tempatan untuk terus bereksperimen, membina keupayaan sendiri dan perlahan-lahan membawa produk makanan ternakan Sabah ke pasaran yang lebih luas.

Must Watch Video

Advertisement