KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak awal penubuhannya pada tahun 1997 sehingga kini kekal terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, terdapat kekeliruan dalam laporan media berhubung perkara itu sehingga menyebabkan rakyat berpendapat JAKIM kini di bawah Majlis Raja-Raja.

Begitupun katanya, kekeliruan itu telah diperbetulkan dengan kenyataan rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 12 Mac lepas.

“Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-258 telah membuat ketetapan bahawa salah seorang dari Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi MKI selama tempoh dua tahun secara bergilir-gilir.

“Sementara itu, Perdana Menteri dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI). Mesyuarat Majlis Raja-raja telah berkenan memilih Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI pertama dalam kalangan Raja-Raja bagi tempoh dua tahun.

“Majlis Raja-Raja, dalam persidangannya yang ke-81 pada 17 Oktober 1968, telah berkenan menubuhkan sebuah badan bagi menyelaras pentadbiran agama Islam antara negeri-negeri,” katanya.

Tambah beliau, badan itu telah dirasmikan penubuhannya pada 1 Julai 1969 dan kini dikenali sebagai MKI.

“Selari dengan penubuhannya pada waktu itu, sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah diwujudkan bagi melaksanakan tugas-tugas keurussetiaan MKI berpandukan Peraturan MKI yang telah diperkenan oleh Majlis Raja-Raja,” ujarnya.

Jelasnya, Bahagian Ugama Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melalui beberapa fasa transformasi hingga akhirnya ia dinaik taraf menjadi sebuah jabatan berkuat kuasa pada 1 Januari 1997 dengan nama JAKIM.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas - Kuala Krai) yang bertanya adakah JAKIM kini diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja seperti dilaporkan dalam media.