Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jakim perlu lebih tegas dan bertindak tanpa pilih kasih untuk memastikan Malaysia terus diperakui sebagai hab halal di kalangan dunia Islam.

Beberapa pengusaha makanan halal yang ditemui di kawasan Hab Halal Tambun, Perak berpendapat, Jakim seharusnya menjadi satu-satunya badan yang menentukan soal halal haram atau perkara-perkara yang berkaitan dengannya kerana mereka mempunyai kepakaran.

Pengusaha yang ditemui juga mahu Jakim membuat pemantauan yang berterusan, tanpa mengira perusahaan kecil mahupun besar dan bukannya apabila terdapat aduan sahaja.

Mereka berpendapat, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan umat Islam dan dunia Islam mempersoalkan integriti sijil halal yang dikeluarkan di negara ini kerana selama ini Malaysia sering menjadi rujukan negara islam lain.

Menurut seorang pengusaha kedai kek, Azizan Saari, pihak Jakim perlu lebih serius.

“Kita minta pihak Jakim lebih serius dalam menangani masalah ini yang mana Jakim boleh membuat pemantauan yang lebih lagi supaya masyarakat tidak merasa keliru dalam masalah ini. Lebih berintegritilah dalam soal-soal ini. Orang sudah mula was-was perkara ini, pemantauan perlu lebih,” kata Azizan.

Mereka juga mahu Jakim bertindak tegas dalam soal halal haram, khususnya produk makanan kerana ia boleh menjejaskan nama baik Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.

Buat Jamaluddin Mat Taib status kecil atau besarnya sesebuah perniagaan itu tidak seharusnya menjadi kayu pengukur untuk Jakim mengambil tindakan.

“Pihak Jakim sebenarnya kena tegas dalam soal halal dan haram ini kerana kita menguar-uarkan Malaysia sebagai negara Islam dan mengeluarkan produk halal. Jangan kerana dia mempunyai pengaruh yang besar atau syarikat yang besar, dengan serta merta kita menarik status itu daripada tidak halal menjadi halal.

Kalau syarikat yang kecil, susah sangat nak dapat sijil halal itu kerana kita mungkin tidak ada pengaruh apa semua sekali,” katanya.

Bagi penyelia Tasneem Industri Sdn Bhd, Azlina Abdullah yang mengeluarkan produk cokelat, pula melahirkan rasa bimbang sekiranya kekeliruan soal haram ini tidak diatasi segera, perniagaan usahawan kecil dan sederhana sepertinya akan terjejas.

“Orang bukan Islam pun ada juga yang mencari produk yang halal sebab mereka pun mementingkan kebersihan. Pada saya, Jakim perlu mengekalkan intergriti supaya lebih prihatin tentang masalah ini.

“Kami pun merasa bimbang, sebab isu-isu yang terjadi ini boleh menjejaskan produk kami sebab kalau dah terjadi macam ni, mungkin pengguna di luar sana keliru untuk membeli produk-produk, terutamanya orang Islamlah. Kalau tidak ada tanda halal, mungkin mereka juga merasa was-was,” katanya.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mengandungi DNA babi atau porsin.

DNA babi dikesan dalam sampel coklat susu dengan kacang Hazel bernombor kelompok NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014 dan coklat susu dengan buah badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.

Jakim pada Selasa bagaimanapun mengesahkan dua sampel produk coklat keluaran syarikat Cadbury Confectionary (M) Sdn. Bhd. (Cadbury) yang diambil terus daripada kilang syarikat itu dikesan tidak mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine).