Skip to main content

Malaysia

Jakim sahkan surat tular berkaitan pengiktirafan urusan pernikahan adalah palsu

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahu pun Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri tidak pernah melantik pertubuhan yang dinyatakan ini untuk menguruskan atau memperakukan urusan pernikahan. -- FB  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM
Jakim memaklumkan semakan mendapati dokumen berkenaan bukanlah dokumen yang diiktiraf atau dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama Islam di Malaysia. - Gambar Facebook Jakim
Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan rujukan surat yang tular menerusi media sosial, kononnya membuktikan pengiktirafan jabatan itu terhadap sebuah pertubuhan bagi menguruskan urusan pernikahan adalah palsu.

Jakim dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi hari ini memaklumkan semakan mendapati dokumen berkenaan bukanlah dokumen yang diiktiraf atau dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama Islam di Malaysia.

"Jakim mahu pun majlis atau jabatan agama Islam negeri tidak pernah melantik pertubuhan yang dinyatakan ini untuk mengurus atau memperakukan urusan pernikahan. Rujukan surat tersebut adalah palsu," menurut kenyataan itu.

Jakim turut menggesa orang ramai supaya sentiasa membuat semakan dengan jabatan berkenaan atau majlis dan jabatan agama Islam negeri sebelum mempercayai sebarang dokumen berkaitan urusan agama Islam yang diragui kesahihannya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dilaporkan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap perkara itu sebaik menerima maklumat yang lengkap.

Tular dalam media sosial surat pengakuan nikah yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia dengan memaparkan nombor rujukan "JAKIM.PERH/LN.800-7(5)", yang mencetuskan persoalan tentang kaitan kod berkenaan dengan Jakim.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement