GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukkan RM450,000 tahun ini bagi membina sistem bekalan air terawat di Kampung Orang Asli Merlong, di sini, menggunakan sumber telaga tiub.

JAKOA dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, pembinaan telaga itu merupakan penyelesaian jangka pendek bagi permasalahan penduduk yang berhadapan ketiadaan air di Kampung Merlong.

Menurut kenyataan itu, masalah ketiadaan air berlaku disebabkan ketiadaan sumber air tandak (gravity feed system) yang lebih ekonomik.

"Untuk makluman, mereka kini berkongsi sumber air bersih alternatif JAKOA bersama Kampung Orang Asli Jenut, Kampung Orang Asli Mangsok dan Kampung Orang Asli Cengkelik dengan jumlah Ketua Isi Rumah seramai 36 keluarga bersamaan 150 orang penduduk," menurut kenuyataan itu.

Menurutnya, bagi penyelesaian jangka panjang, penduduk di kawasan itu bakal menerima projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) retikulasi daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

JAKOA berkata, projek BALB telah bermula dengan melibatkan seluruh perkampungan Orang Asli RPS Kuala Betis.

Menurutnya, status terkini projek adalah di peringkat penilaian harga daripada konsultan yang dilantik.

Sebelum ini, media melaporkan 4,000 penduduk Orang Asli mendakwa hanya menerima air bersih sekali dalam tempoh sebulan. - BERNAMA